Sinar Harian
IPOH - Tiada cawangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak yang terbubar susulan beberapa siri peletakan jawatan dan tindakan keluar parti baru-baru ini.Pengerusi PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, perkembangan di negeri ini hanya melibatkan satu cawangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Tanjung Malim dan tidak menjejaskan keseluruhan struktur organisasi parti.Menurutnya, hanya enam individu daripada barisan kepimpinan AMK cawangan berkenaan yang meletakkan jawatan, manakala majoriti ahli jawatankuasa masih kekal dan meneruskan fungsi seperti biasa."Daripada 18 ahli jawatankuasa yang dilantik, 12 orang masih bersama parti. Jadi, secara rasminya tiada pembubaran berlaku."Kita pun sudah melantik Timbalan Ketua AMK cawangan sebagai pemangku bagi memastikan kesinambungan kepimpinan di Tanjung Malim," katanya.Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab media sempena Majlis Hi-Tea Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Perak bersama pengamal media di Wisma Keadilan Negeri Perak di Meru Raya di sini pada Sabtu.Majlis yang disertai hampir 50 pengamal media pelbagai agensi itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi PKR Perak yang Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing.Hadir sama, Naib Pengerusi PKR Perak, Baldip Singh Santokh Singh; Muzaffar Shah Khairuddin dan Sandrea Ng; Ketua Wanita Keadilan Perak, Zuraidah Zakaria serta Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak, Ashraf Kahasani.Mohamad Hairul Amir berkata, pihaknya sudah mengenal pasti kurang daripada 20 individu yang meninggalkan parti setakat ini, berbanding jumlah keseluruhan keanggotaan PKR Perak yang melebihi 100,000 orang."Jumlah ini (keluar parti) adalah kecil dan tambahan pula, mereka dalam kalangan mantan pemimpin, bukannya ketua cawangan atau pimpinan tertinggi. Dari segi keseluruhan, kedudukan parti di Perak masih kukuh," katanya.Beliau menjelaskan, perbezaan pandangan dalam parti, khususnya selepas pemilihan, merupakan perkara biasa dan berlaku kepada semua parti di negara ini.Bagaimanapun katanya, pimpinan PKR Perak tidak mengambil mudah perkara itu dan sentiasa mengambil pendekatan untuk menyatukan semula barisan kepimpinan bagi memperkukuh gerak kerja parti."Yang penting ialah bagaimana kita menguruskan keadaan dan kembali bersatu untuk memperkuat parti. Setakat ini, tiada sebarang pergolakan besar seperti yang pernah berlaku dalam beberapa parti politik lain," katanya.Terdahulu, Ketua AMK Cabang Tanjung Malim, Muhammad Haziq Azfar Ishak, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Exco AMK Malaysia dan keluar daripada parti berkuat kuasa serta-merta pada Rabu.Keputusan tersebut dibuat susulan kebimbangannya terhadap hala tuju parti yang didakwa semakin berubah daripada prinsip perjuangan asal.
Go to News Site