Collector
Simpan RM10 sejak kecil, 16 ahli keluarga tunai haji bersama | Collector
Simpan RM10 sejak kecil, 16 ahli keluarga tunai haji bersama
Sinar Harian

Simpan RM10 sejak kecil, 16 ahli keluarga tunai haji bersama

MAKKAH – Hanya bermula dengan simpanan Tabung Haji (TH) serendah RM10 sebulan yang dimulakan ibunya sejak kecil, Muhammad Huzair Zakhal, 39, kini berjaya menunaikan ibadah haji bersama 15 lagi ahli keluarganya di Tanah Suci.Menurutnya, perjalanan itu bukan sekadar memenuhi panggilan haji, tetapi menjadi bukti pengorbanan dan didikan seorang ibu yang sanggup mengorbankan masa serta kerjayanya demi masa depan anak-anak.Muhammad Huzair berkata, kejayaan mereka berkumpul menunaikan haji tahun ini hasil disiplin dan pengorbanan ibunya, Azizah Ibrahim, 68, yang sejak awal menitikberatkan pendidikan agama serta simpanan TH anak-anak.Katanya, beliau bersama sembilan adik-beradik lain serta pasangan masing-masing berangkat di bawah KT37 menjadikan keseluruhan 16 ahli keluarga berada bersama di bumi Makkah."Mak sebelum ini pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) tetapi berhenti kerja untuk membesarkan dan mendidik kami sepenuh masa di rumah," katanya ketika ditemui di sini.Beliau berkata, sistem pendidikan keluarga mereka menggabungkan akademik dan tahfiz sebelum meneruskan pengajian kitab selepas khatam 30 juzuk al-Quran.Jelasnya, tiga adik-beradiknya turut menyambung pengajian di Indonesia termasuk adik lelaki bongsu yang akan kembali ke negara itu selepas selesai menunaikan haji.Menurutnya, legasi pendidikan itu kini diteruskan menerusi penubuhan Maahad Tahfiz Baitul Hamd di Bandar Universiti, Seri Iskandar.Muhammad Huzair berkata, ibunya memulakan simpanan TH sebanyak RM10 sebulan bagi setiap seorang daripada 12 anak yang masih kecil ketika itu sebelum dinaikkan kepada RM20 seorang."Mak potong daripada pendapatan sendiri. Mula-mula jumlahnya RM120 sebulan sebelum meningkat kepada RM240 sebulan menyimpan untuk kami adaik-beradik."Kami juga tidak dibenarkan menggunakan duit raya kerana semuanya perlu dimasukkan ke TH," katanya.Disiplin Menurutnya, disiplin itu diteruskan hampir dua tahun sehingga setiap anak mempunyai simpanan minimum RM1,300 bagi membolehkan pendaftaran haji muassasah dilakukan secara berjemaah pada tahun 2009.Muhammad Huzair berkata, di sebalik kegembiraan berada di Tanah Suci, keluarga besar itu turut meninggalkan 27 cucu di Malaysia yang kini dijaga mertua, saudara-mara dan rakan keluarga.Walaupun berjauhan dengan anak dan cucu, katanya, peluang dapat berkumpul beramai-ramai di bumi Mekah menjadi nikmat yang sukar digambarkan.Katanya, daripada keseluruhan 16 beradik, hanya 10 dapat menunaikan haji bersama pasangan masing-masing tahun ini."Kakak sulung sudah menunaikan haji tahun lalu manakala seorang lagi adik istimewa tidak dapat ikut kerana faktor kesihatan," katanya.Beliau berkata, peluang berada di Makkah selama 45 hingga 48 hari menjadi detik paling bermakna buat mereka kerana sukar untuk berkumpul lengkap di Malaysia memandangkan masing-masing sibuk dengan kerjaya dan keluarga."Di Malaysia memang susah hendak berkumpul ramai-ramai macam ini. Jadi peluang berada bersama di Tanah Suci benar-benar kami hargai," katanya.Menurutnya, setiap kali berkumpul terutama menjelang Zulhijjah, keluarga mereka akan mengadakan majlis bacaan hadis berkaitan fadilat haji, solat dan keikhlasan niat."Mak selalu pesan supaya kami saling menjaga antara satu sama lain dan gunakan peluang di Tanah Suci ini untuk memperbaiki diri serta mengeratkan hubungan keluarga," katanya.Muhammad Huzair berkata, beliau kini meneruskan legasi keluarganya dengan membuka akaun dan mendaftarkan haji untuk ketiga-tiga anaknya sejak kecil."Bagi Muhammad Huzair, apa yang dilakukan ibunya bukan sekadar simpanan haji, tetapi satu warisan kehidupan yang kini cuba diteruskan kepada generasi seterusnya," akhirinya.

Go to News Site