Sinar Harian
MACHANG - "Ayah sudah 13 tahun tunggu giliran untuk tunaikan haji, sampaikan kami nak bawa dia pergi umrah pun dia tak mahu."Demikian perkongsian Almahfuz Ahmad, 37, anak kepada jemaah haji Musim Haji 1447H/2026M, Ahmad Ibrahim, 77, yang meninggal dunia pada Khamis lalu.Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, mereka reda dengan pemergian tersebut kerana menyifatkan bapanya terlalu ternanti-nantikan detik menunaikan rukun Islam kelima itu dan sepanjang satu dekad tidak pernah ketinggalan menyertai kursus haji."Kami sudah berbincang, kalau tahun ini nama ayah belum lagi terpilih oleh Tabung Haji, kami sanggup nak hantar ayah dan ibu menunaikan haji melalui swasta walaupun berapa sahaja kosnya demi merealisasikan impiannya itu."Ini kerana kami bimbang tentang kesihatannya kerana ayah sudah berusia dan ada penyakit darah tinggi serta komplikasi buah pinggang," katanya ketika ditemui di Kampung Dewan Kecil di sini pada Ahad.Menurutnya, bapa dan ibunya, Che Minah Hassan, 68, berangkat ke Tanah Suci pada 3 Mei lalu dan dijangka pulang pada 16 Jun ini.Ujar pekebun itu, bapanya sangat gembira dan bersemangat apabila mendapat tahu mereka suami isteri akan menunaikan haji pada Januari lalu."Ayah jaga kesihatan dengan baik sehingga dia lulus semua syarat yang ditetapkan. Sebelum berangkat juga, ayah tinggalkan amanah berkaitan keluarga kepada saya," katanya yang mengetahui tentang kematian bapanya itu pada jam 1 pagi pada hari kejadian.Menurut Almahfuz, ibunya berada dalam keadaan baik di Tanah Suci dan segala maklumat terkini akan disampaikan melalui kakak sulungnya, Azwira, 40.Media sebelum ini melaporkan seorang jemaah haji lelaki bagi Musim Haji 1447H/2026M meninggal dunia pada Khamis, 21 Mei.Lembaga Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan memaklumkan, jemaah yang berasal dari Machang, Kelantan, berusia 77 tahun itu hadir bersama isteri ke Tanah Suci.Allahyarham merupakan jemaah daripada kumpulan KT50 dan menginap di Hotel Abraj Al-Tayseer.Beliau disahkan meninggal dunia di Hospital King Abdul Aziz pada jam 5.40 petang akibat jangkitan kuman di kawasan perut atau intra-abdominal sepsis.Jenazah dibawa ke Masjidil Haram untuk disembahyangkan selepas solat Subuh pada Jumaat dan kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Al-Sharayea, Mekah, untuk dikebumikan.
Go to News Site