Sinar Harian
PARIT BUNTAR – Hasrat seorang ibu untuk menikmati buah strawberi yang dipesan kepada anaknya sebelum keluar ke Cameron Highlands tidak kesampaian apabila wanita itu maut bersama suami dalam kemalangan di Telok Medan, Bagan Serai petang Ahad.Dalam kejadian kira-kira jam 4.42 petang itu, pasangan suami isteri, Sahbuddin Bakar, 65, dan Noraziyah Jahari, 51, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kereta jenis Perodua Myvi dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Toyota Innova dari arah bertentangan.Anak sulung mangsa, Muhammad Zikri Sahbuddin, 31, berkata, pesanan ibunya itu menjadi kenangan terakhir yang sukar dilupakan keluarga.Menurutnya, adiknya keluar ke Cameron Highlands pada pagi Ahad dan sebelum itu arwah ibunya sempat meminta dibelikan buah strawberi kerana teringin untuk menikmatinya."Namun siapa sangka, hasrat itu tidak kesampaian apabila ibu pergi buat selama-lamanya. Saya paling terkilan kerana itulah antara permintaan terakhir ibu."Selain itu, ibu juga sempat menyatakan hasrat mahu makan daging dendeng pada Aidiladha nanti dan saya sudah pun membelikannya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Parit Buntar pada Ahad malam.Muhammad Zikri berkata, sebelum kejadian dia sempat berbual dengan ibunya dan bercadang membawa wanita itu keluar bersiar-siar pada sebelah petang seperti kebiasaan mereka setiap hujung minggu."Pagi tadi, saya beritahu ibu saya nak bawa dia keluar jalan-jalan petang ini. Masa itu ibu sedang memasak, manakala saya baru habis kerja dan mahu berehat sekejap."Tak lama kemudian, ibu beritahu dia mahu keluar sekejap bersama ayah, tetapi tidak maklumkan hendak ke mana," katanya.Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian tragis itu selepas dimaklumkan oleh seorang individu yang datang ke rumah."Saya terus tergamam apabila diberitahu ibu dan ayah terlibat dalam kemalangan. Saya bersama dua adik masih terkejut dan tidak mampu berkata apa-apa," katanya.Tambahnya, keluarga masih berbincang mengenai tindakan lanjut yang akan diambil termasuk kemungkinan membawa perkara itu ke mahkamah bagi mendapatkan keadilan.Jenazah pasangan itu kini ditempatkan di Unit Forensik Hospital Parit Buntar untuk proses bedah siasat sebelum dijangka dikebumikan pada Isnin di Tanah Perkuburan Islam Masjid Titi Serong.Difahamkan, Sahbuddin merupakan pesara kerajaan dan pernah berkhidmat sebagai pemandu ambulans di Klinik Kesihatan Kedai 4, Titi Serong.Sementara itu Ketua Polis Daerah Kerian, Jafri Md Zain mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Menurutnya, setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat memandangkan pemandu Toyota Innova terbabit masih menerima rawatan di hospital selepas mengadu sakit dada akibat kemalangan itu.
Go to News Site