Collector
'Jangan bergantung pada kelemahan lawan' | Collector
'Jangan bergantung pada kelemahan lawan'
Sinar Harian

'Jangan bergantung pada kelemahan lawan'

KETIKA Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) terus bergolak dengan siri konflik dalaman, Barisan Nasional (BN) pula dilihat mula menghidu peluang untuk bangkit menjelang PRU16.Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan BN tidak boleh bergantung kepada ke­lemahan lawan semata-mata, sebaliknya perlu mengubah peluang semasa menjadi sokongan rakyat.SINAR HARIAN: Adakah Barisan Nasional (BN) melihat pergolakan dalam PH dan PN ketika ini sebagai peluang untuk memperkukuh semula kedudukan menjelang PRU akan datang?SETIAUSAHA AGUNG BN, DATUK SERI DR ZAMBRY ABD KADIR: BN tidak boleh bergantung semata-mata kepada kelemahan pihak lain untuk kembali mendapat sokongan rakyat. Politik yang matang bukan diabina atas kegagalan lawan tetapi atas kemampuan menawarkan penyelesaian yang lebih baik kepada rakyat.Namun dalam mana-mana sistem demokrasi, apabila rakyat melihat berlakunya konflik dalaman, perebutan kuasa dan ketidakstabilan dalam sesebuah gabungan politik, mereka akan mula mencari sebuah alternatif yang lebih stabil, berpengalaman dan mempunyai hala tuju yang jelas. Dalam konteks itu, BN perlu memanfaatkan ruang tersebut dengan memperkukuhkan organisasi parti, memperkemas agenda rakyat dan membina semula keyakinan masyarakat.BN sedar rakyat hari ini semakin matang. Mereka mahu kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, kos sara hidup ditangani dan masa depan anak-anak dijamin. Jadi fokus BN ialah membina semula keyakinan rakyat melalui agenda yang praktikal dan realistik.SINAR HARIAN: Apakah langkah yang sedang diambil BN untuk menarik semula sokongan pengundi Melayu yang sebelum ini beralih kepada PN?BN memahami bahawa sebahagian pengundi Melayu sebelum ini membuat pilihan berdasarkan keresahan ekonomi, sentimen identiti dan rasa kecewa terhadap landskap politik semasa. Sebab itu BN perlu kembali kepada asas perjuangannya iaitu membela rakyat dengan pendekatan sederhana, stabil dan berpijak kepada realiti.Antara langkah yang sedang dan perlu terus diperkukuhkan ialah:- memperkukuh agenda ekonomi rakyat terutama kos sara hidup, pekerjaan anak muda, TVET, pendidikan dan keusahawanan;- memperluaskan agenda pendidikan Bumiputera secara lebih dinamik dan relevan dengan cabaran baharu seperti AI, ekonomi digital dan perubahan teknologi;- mendekati generasi muda dengan pendekatan baharu yang lebih terbuka, interaktif dan tidak terlalu bergantung kepada retorik lama;- mengembalikan budaya politik berasaskan penyelesaian, bukan politik kebencian dan fitnah berpanjangan.Pengundi Melayu khususnya mahukan kestabilan, maruah ekonomi dan masa depan yang jelas. Mereka tidak mahu politik yang hanya menjual kemarahan tanpa menawarkan jalan keluar.SINAR HARIAN: Rumah Bangsa dan Musyawarah Nasional dilihat antara strategi BN, sejauh mana inisiatif itu menunjukkan perkembangan positif?Rumah Bangsa membawa mesej yang penting bahawa UMNO dan BN mesti menjadi wadah besar yang menyatukan, bukan memecahkan masyarakat. Politik masa depan tidak boleh terus terperangkap dalam budaya permusuhan tanpa noktah.Musyawarah Nasional pula memberi ruang kepada proses mendengar pandangan pelbagai pihak termasuk akar umbi, profesional, anak muda dan masyarakat sivil mengenai masa depan negara. Ini penting kerana rakyat mahu politik yang lebih inklusif dan bersifat konsultatif.Apa yang positif ialah kedua-dua pendekatan ini mula membina semula keyakinan bahawa BN sedang bergerak ke arah politik yang lebih matang, sederhana dan berorientasikan masa depan. Ia juga menunjukkan BN tidak sekadar mahu menang pilihan raya, tetapi mahu membina semula naratif nasional yang lebih stabil dan inklusif.SINAR HARIAN: Penganalisis melihat BN lebih stabil berbanding pesaing ketika ini. Adakah BN bersetuju kestabilan itu menjadi kelebihan utama parti?Kestabilan adalah antara faktor penting dalam politik hari ini. Rakyat sudah terlalu letih dengan pertukaran kerajaan, konflik berpanjangan dan perebutan kuasa yang tidak berkesudahan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.BN mempunyai pengalaman panjang dalam mengurus kerajaan, membina institusi dan menghadapi krisis. Sudah tentu pengalaman itu menjadi satu kekuatan.Namun kestabilan sahaja tidak mencukupi. Kestabilan tanpa transformasi, tanpa idea baharu dan tanpa kemampuan memahami perubahan zaman juga tidak akan membawa parti ke hadapan.Sebab itu BN perlu dilihat bukan sahaja stabil dari sudut organisasi, tetapi juga progresif dari sudut idea, dasar dan pendekatan politiknya.SINAR HARIAN: Apakah jaminan BN bahawa rakyat bukan sekadar melihat parti itu sebagai pilihan kerana kelemahan lawan, sebaliknya yakin dengan tawaran baharu BN sendiri?BN mesti menawarkan harapan baharu yang lebih meyakinkan. Rakyat tidak mahu kembali kepada politik lama yang gagal memahami denyut nadi semasa.Cabaran masa depan jauh lebih kompleks iaitu kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, perubahan geopolitik, pendidikan generasi baharu, ketidaktentuan ekonomi global dan isu keterjaminan makanan serta pekerjaan.Sebab itu BN perlu tampil sebagai gabungan yang:- mempunyai pelan jangka panjang untuk negara;- berani melakukan pembaharuan;- mengutamakan integriti dan tata kelola yang baik;- membina politik ilmu dan dasar;- serta mampu menyatukan rakyat dalam masyarakat majmuk.Kekuatan sebenar BN bukan sekadar kerana pihak lain lemah, tetapi jika BN berjaya membuktikan bahawa ia mempunyai pengalaman, kestabilan dan keberanian untuk berubah sesuai dengan tuntutan zaman.Akhirnya rakyat akan menilai bukan siapa paling kuat menyerang lawan, tetapi siapa paling mampu mengurus masa depan negara dengan baik.

Go to News Site