Collector
Ikhlas, jujur mampu kurangkan hormon kortisol | Collector
Ikhlas, jujur mampu kurangkan hormon kortisol
Sinar Harian

Ikhlas, jujur mampu kurangkan hormon kortisol

SHAH ALAM - Dalam dunia hari ini, tekanan hidup menjadi antara punca utama manusia mudah letih, cepat marah, gelisah dan mengalami pelbagai masalah kesihatan.Tanpa disedari, semua itu berkait rapat dengan satu hormon dalam tubuh manusia yang dikenal sebagai hormon kortisol.Penasihat Quran Medis, PT Cordoba Internasional Indonesia, Dr Agus Rahmadi berkata, kortisol sebenarnya bukan musuh kepada tubuh malah pada kadar yang normal, hormon itu sangat diperlukan untuk membantu tubuh bertindak balas terhadap tekanan, mengawal gula dalam darah dan memastikan tubuh mampu berfungsi dengan baik."Namun apabila kortisol terlalu tinggi dan berlebihan, ia mula memberi kesan negatif kepada kesihatan. Kortisol berlebihan boleh menyebabkan saluran darah mengecut dan kadar gula dalam darah meningkat."Keadaan ini boleh memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan emosi seseorang jika tidak dikawal dengan baik. Oleh sebab itu, manusia memerlukan ketenangan jiwa untuk membantu mengawal hormon tersebut," katanya kepada Rasuah Busters baru-baru ini.Tambah Agus, antara cara terbaik untuk menurunkan kadar kortisol adalah melalui solat yang khusyuk dan berjiwa tenang.Ujarnya, apabila seseorang memiliki hati yang ikhlas, jujur dan tidak dipenuhi tekanan emosi yang negatif, tubuh akan mula menghasilkan hormon endorfin."Endorfin ialah hormon yang membantu seseorang berasa lebih tenang, lebih bahagia dan lebih stabil dari sudut emosi. Hormon ini juga membantu melancarkan saluran darah dan memberi kesan positif kepada tubuh."Di sinilah pentingnya integriti kendiri dalam kehidupan manusia. Integriti bukan sekadar soal amanah dalam pekerjaan atau tidak melakukan rasuah. Integriti juga melibatkan kejujuran terhadap diri sendiri, keikhlasan hati dan ketenangan jiwa dalam menjalani kehidupan."Apabila seseorang hidup dalam penipuan, hasad dengki, dendam, kepura-puraan atau tekanan untuk menjadi sesuatu yang bukan dirinya, tubuh sebenarnya sentiasa berada dalam keadaan tertekan," katanya.Menurutnya, tekanan emosi yang berpanjangan akan meningkatkan hormon kortisol secara berlebihan.Sebaliknya, katanya, orang yang ikhlas dan jujur biasanya memiliki hati yang lebih tenang."Mereka tidak terlalu terbeban dengan kepalsuan, tidak penat berpura-pura dan tidak sentiasa hidup dalam ketakutan atau keresahan. Keadaan jiwa yang lebih stabil membantu tubuh menghasilkan hormon yang lebih baik untuk kesihatan."Ini menunjukkan kesihatan tubuh manusia bukan hanya bergantung kepada makanan dan ubat-ubatan semata-mata, tetapi juga sangat berkait dengan keadaan hati dan jiwa."Apabila manusia menjaga integriti kendiri bercakap benar, bersikap jujur, ikhlas dalam tindakan dan mendekatkan diri kepada ALLAH, bukan sahaja hubungan sesama manusia menjadi lebih baik, malah tubuh juga menerima kesan positif dari sudut kesihatan," katanya.Kongsi beliau, kadangkala ketenangan yang paling mahal bukan datang daripada kemewahan hidup, tetapi daripada hati yang bersih dan jiwa yang jujur.

Go to News Site