Sinar Harian
SIK - Seorang mekanik pada Isnin sekali lagi dihadapkan ke mahkamah atas tiga pertuduhan memiliki senjata api, peluru dan senjata tiruan, awal bulan ini.Mohd Shahifuldin Mohd Shahiran, 46, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen di sini Rohaida Ishak.Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki selaras senapang Remington Model 1100 buatan Amerika Syarikat tanpa lesen atau permit yang sah di sebuah rumah di Kampung Luar Siong, Baling kira-kira 6 petang 6 Mei.Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.Lelaki itu juga didakwa memiliki 156 butir peluru hidup pelbagai jenis tanpa lesen atau permit yang sah di tempat pada masa dan tarikh yang sama.Bagi kesalahan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Selain itu, Mohd Shahifuldin didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan bertulis Glock 19 Gen 4 buatan Austria berserta satu kelopak peluru tanpa sebab yang sah di lokasi pada masa dan tarikh sama.Bagi kesalahan itu, pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal manakala lelaki itu tidak diwakili peguam.Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 12 Julai untuk sebutan semula kes.Pada 13 Mei, Mohd Shahifuldin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di Baling atas lima pertuduhan berkaitan pemilikan senjata api, peluru serta senjata tiruan. - Bernama
Go to News Site