Collector
Penduduk dakwa buaya jadi ganas kerana marah anak dicuri | Collector
Penduduk dakwa buaya jadi ganas kerana marah anak dicuri
Sinar Harian

Penduduk dakwa buaya jadi ganas kerana marah anak dicuri

PORT DICKSON – [DIKEMAS KINI] Buaya di Sungai Linggi dipercayai bertindak agresif sehingga menyerang seorang warga emas yang sedang menjala udang pada pagi Isnin kerana dikatakan marah selepas anaknya dicuri.Perkara itu dikongsi seorang penduduk kampung yang enggan dikenali ketika ditemui di Hospital Port Dickson di sini pada Isnin.Menurutnya, pada mulanya dia tidak mengambil serius dakwaan tersebut, namun percaya cerita itu mungkin ada asasnya selepas berlaku kejadian kedua serangan buaya di kawasan berkenaan."Sejak beberapa minggu lalu, orang kampung ada bercerita ada individu tidak bertanggungjawab mencuri anak buaya di Sungai Linggi, tetapi tidak diketahui siapa pelakunya."Minggu lalu pun ada orang luar yang datang menjala di sungai itu cedera diserang buaya dan kemungkinan ia adalah buaya sama yang menyerang pagi tadi," katanya.Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, lelaki warga emas, Jaafa Hasan, 62, dilaporkan cedera pada di kedua-dua kaki dan paha akibat diserang buaya ketika sedang menjala udang di sungai terbabit dalam kejadian jam 4 pagi.ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas dibaham buaya ketika menjala udangSementara itu, anak mangsa, Nur Syuhadah Jamaludin, 25, mengakui ada mendengar cerita berkenaan daripada penduduk kampung, namun tidak mempercayai sepenuhnya.Bagaimanapun, katanya, kejadian yang menimpa bapanya amat mengejutkan keluarga kerana ia kali pertama berlaku walaupun bapanya hampir setiap hari turun ke sungai."Ayah menjual udang dan biasanya dia akan pergi menjala seorang diri. Kadang-kadang selepas Maghrib dia keluar dan pulang lewat malam sebelum pergi semula pada awal pagi."Kalau nampak buaya di kawasan itu memang perkara biasa, tetapi sebelum ini tidak pernah berlaku kejadian serangan walaupun reptilia berkenaan berada dekat," katanya.Ujarnya, kejadian tersebut menyebabkan bapanya cedera pada bahagian kaki dan paha berdepan trauma.Tambahnya, bapanya dijangka menjalani pembedahan jam 9 malam ini, namun keadaannya kini stabil."Bila dah jadi macam ini saya jadi risau pula nak benarkan ayah pergi ke sungai selepas ini dan harapnya pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Luar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat melakukan pemantauan terhadap kehadiran haiwan tersebut," katanya.Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berada di tepi sungai seorang diri, sebelum kaki kirinya diterkam haiwan terbabit yang kemudian menyeretnya ke dalam sungai.Jelasnya, mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri selepas berpaut pada sebuah batu besar."Mangsa kemudian berjaya naik ke tebing dan mendapatkan bantuan daripada ahli keluarga sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut."Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan termasuk patah jari kaki kiri, patah buku lali kiri serta beberapa luka pada kedua-dua belah kaki," katanya.Beliau turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan mengelakkan aktiviti bersendirian di kawasan sungai, muara atau lokasi dikenal pasti mempunyai habitat reptilia berkenaan.Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli berkata, kejadian buaya menganggu manusia di kawasan tersebut jarang berlaku."Kali terakhir kita dengar tahun 2023 di Sungai Timun dan itu pun selepas ia dioercayai diganggu dan kes hari ini pun kita percaya ada yang membuatkan haiwan itu marah sehingga bertindak agresif."Jadi saya berharap pihak Perhilitan dapat menjalankan siasatan lanjut dan orang ramai terutamanya nelayan dinasihatkan supaya berhati-hati," katanya yang melawat mangsa di hospital.

Go to News Site