Sinar Harian
PASIR MAS - Kegiatan sebuah kilang kayu haram yang dipercayai beroperasi sejak enam bulan lalu di Kampung Lubok Tapah di sini terbongkar selepas diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan bersama Jabatan Perhutanan pada Isnin.Dalam serbuan Op Taring Wawasan kira-kira jam 3.30 petang itu, enam lelaki termasuk pemilik kilang berusia 65 tahun ditahan bagi membantu siasatan.Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pelbagai mesin pemprosesan kayu, jentera berat serta kira-kira 50,000 keping papan pelbagai jenis dan saiz bernilai keseluruhan RM1.1 juta dirampas dalam operasi berkenaan.Menurut beliau, serbuan dilakukan hasil risikan terhadap kegiatan pemprosesan kayu dipercayai beroperasi tanpa lesen sah."Ketika serbuan, terdapat enam lelaki masing-masing berusia antara 24 hingga 48 tahun sedang bekerja di dalam stor kayu terbabit sebelum mereka ditahan untuk pemeriksaan lanjut."Pemilik stor gagal mengemukakan lesen pengoperasian stor serta dokumen berkaitan penggunaan mesin pemotongan kayu yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan," katanya kepada pemberita pada Selasa.Ujar beliau, pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai mesin termasuk mesin gergaji kayu, mesin ketam kayu, mesin cross cut, pemampat udara, jentera berat jenis forklift serta kayu balak pelbagai spesies antaranya Nyatuh dan Kulim.Katanya, siasatan awal mendapati bekalan kayu diperoleh daripada dua ejen termasuk sebuah syarikat di Perak dan pembekal di Gua Musang."Kayu diproses di stor berkenaan sebelum dihantar ke sebuah kilang di Lemal dekat sini untuk dijadikan produk perabot bagi pasaran sekitar Kelantan,"katanya.Beliau memberitahu, pemilik stor turut dipercayai menyewa tapak kilang tersebut sejak 10 tahun lalu dengan kadar RM850 sebulan namun sebelum ini hanya digunakan sebagai tempat penyimpanan kayu.Katanya, pemeriksaan di kilang perabot milik suspek di Lemal bagaimanapun tidak menemukan sebarang kesalahan dan premis berkenaan memiliki lesen sah."Kes disiasat mengikut Seksyen 68(1) Akta Perhutanan Negara 1984 dan semua tangkapan serta rampasan diserahkan kepada Jabatan Hutan Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut," katanya.
Go to News Site