Sinar Harian
PUTRAJAYA - Barisan ketua jabatan dan pucuk pimpinan agensi awam digesa menterjemahkan amanah kepimpinan kepada tindakan nyata yang pantas tanpa melengah-lengahkan sebarang proses apabila berhadapan isu salah laku atau pelanggaran integriti.Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, kuasa dan jawatan datang bersama tanggungjawab besar yang menuntut keberanian membuat intervensi segera demi memastikan tadbir urus perkhidmatan awam kekal berintegriti."Pucuk pimpinan tidak boleh terus berada dalam zon selesa atau membiarkan kecuaian tadbir urus menjadi punca berlakunya pelanggaran undang-undang secara berulang," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi ERAT (Encouraging, Responsibility, Accountability and Trustworthiness) anjuran Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) di Kompleks F8, di sini, pada Isnin.Hadir sama, Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Tan Sri Dr Ismail Bakar.Dalam ucapannya, Shamsul Azri turut mengaitkan pencapaian Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara dengan peranan EAIC dalam memperkukuh integriti dan tadbir urus agensi penguatkuasaan.Jelasnya, Malaysia mencatat pencapaian terbaik dalam tempoh enam tahun apabila berada di kedudukan ke-54 dunia dengan skor 52 mata."Antara kaitan CPI dengan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan ini ialah salah satu fokus kumpulan penguatkuasaan diterajui oleh EAIC berdasarkan Bertelsmann Stiftung Transformation Index (BTI)," ujarnya.Beliau turut menekankan pentingnya kesiapsiagaan kepimpinan dalam menghadapi cabaran ekonomi global susulan peperangan Iran-Israel yang menurutnya sudah memasuki tempoh tiga bulan 25 hari.Ujarnya, kesan konflik itu menyebabkan perbelanjaan subsidi petrol dan diesel kerajaan meningkat mendadak daripada RM700 juta sebulan sebelum perang kepada purata RM5 bilion sebulan bermula April hingga Mei 2026."Walau bagaimanapun, kerajaan akan memastikan perbelanjaan untuk rakyat diberi keutamaan dan kita memfokuskan kepada keperluan kritikal."Perkhidmatan kepada rakyat tidak akan terjejas dan perkara berkaitan pendidikan serta kesihatan akan tetap diutamakan tanpa kompromi," katanya.Beliau turut berkongsi beberapa inisiatif kerajaan termasuk mengekalkan harga diesel bersubsidi menerusi Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi sektor pengangkutan awam dan barangan, bantuan kepada golongan nelayan serta pelaksanaan Program Budi Madani. Selain itu, beliau berkata, kerajaan turut melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam kalangan penjawat awam bermula 15 April lalu bagi mengurangkan penggunaan bahan api.Ujarnya, sehingga kini pelaksanaan BDR berjaya menjimatkan 2.14 juta liter bahan api dengan nilai subsidi sebanyak RM4.2 juta membabitkan 357,000 penjawat awam.Dalam pada itu, Shamsul Azri memperkenalkan gagasan kepimpinan berdepan krisis yang dikenali sebagai Tegas, merangkumi tindakan pantas, empati, gagasan jelas, adaptif dan strategi efektif.Beliau berkata, kebersamaan dalam menghadapi cabaran semasa amat penting bagi memastikan negara terus kukuh mendepani ketidaktentuan ekonomi global.Sementara itu, Ismail berkata, prinsip "justice delayed is justice denied" mesti dijadikan pegangan utama semua agensi penguatkuasaan dalam menangani salah laku.Menurutnya, setiap pelanggaran integriti perlu ditangani segera menggunakan peraturan sedia ada tanpa sebarang kelewatan kerana tindakan lambat bukan sahaja menjejaskan keadilan, malah boleh merosakkan imej keseluruhan perkhidmatan awam."Setiap teguran, syor dan dapatan EAIC tidak boleh berhenti sebagai laporan bertulis semata-mata, sebaliknya wajib diterjemahkan kepada tindakan pembetulan nyata yang berkesan di lapangan," ujarnya.Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian penghargaan kepada 21 agensi penguatkuasaan seliaan EAIC atas kerjasama dan profesionalisme sepanjang proses siasatan serta pemeriksaan dijalankan.Selain itu, 13 pengamal media turut menerima penghargaan atas peranan memperluaskan liputan serta meningkatkan kesedaran awam mengenai pemerkasaan integriti negara.Program itu turut diserikan dengan pementasan teater mini muzikal Amanah oleh Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan bertemakan "Amanah Dijulang, Integriti Dipegang" yang mengetengahkan mesej berkaitan kuasa, amanah dan tanggungjawab kepimpinan dalam perkhidmatan kepada negara.
Go to News Site