Sinar Harian
ALOR SETAR - Cubaan seorang pemilik kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire melarikan diri daripada operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) gagal apabila kenderaannya berjaya dikesan dan disita dalam operasi di Lebuhraya Sultanah Bahiyah di sini pada Isnin.Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, anggota penguat kuasa mengesan MPV mewah berkenaan berada di hadapan sebuah pusat perubatan berhampiran Wisma Darul Aman.Menurutnya, pemandu berusia lewat 30-an yang dipercayai seorang tauke lori kemudian cuba melarikan diri dengan memandu kenderaan tersebut ke belakang sebuah bangunan di kawasan Mergong."Bagaimanapun, tindakan pemandu terbabit berjaya dikesan anggota penguat kuasa sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan terhadap kenderaan itu," katanya pada Selasa.Beliau berkata, hasil semakan mendapati kenderaan terbabit mempunyai lebih 20 saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) tertunggak membabitkan nilai melebihi RM6,000.Katanya, MPV itu juga didapati tidak memiliki cukai jalan serta perlindungan insurans yang sah."Pemilik memberi alasan saman terbabit baru muncul pada tahun ini, namun tindakan saman dan sita tetap diambil mengikut peruntukan undang-undang," katanya.Stien menegaskan tindakan melarikan diri tidak akan menghalang penguatkuasaan terhadap mana-mana pemilik kenderaan yang gagal mematuhi undang-undang jalan raya."JPJ akan terus mempergiat operasi bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan ditetapkan," ujarnya.
Go to News Site