Sinar Harian
KUANTAN - Negara-negara Islam perlu bersatu dan memperkukuh kerjasama bagi menentang hegemoni Amerika Syarikat (AS) susulan desakan terbaharu negara itu terhadap beberapa negara untuk mengiktiraf Israel menerusi Perjanjian Abraham.Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kenyataan Presiden AS, Donald Trump yang mahu lebih banyak negara menandatangani perjanjian berkenaan disifatkan sebagai usaha memperkukuh pengaruh dan dominasi kuasa besar dunia tersebut.Menurutnya, masyarakat antarabangsa perlu berdiri teguh bagi menghalang pengenaan kuasa secara unilateral yang boleh menggugat keseimbangan dunia."Sekiranya usaha mendapatkan pengiktirafan terhadap Israel dijadikan alat tawar-menawar atau ‘bayaran’ bagi perjanjian damai dengan Iran, maka ia membuktikan Amerika Syarikat tidak lagi boleh dipercayai."Era dunia unipolar telah berakhir dan sudah tiba masanya diwujudkan orde dunia baharu yang menolak hegemoni serta menekankan kemakmuran yang adil dan saksama untuk semua negara," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Beliau turut menganggap kenyataan Trump yang dibuat menjelang Hari Wukuf sebagai tidak sensitif dan menghina umat Islam di seluruh dunia.Justeru, menurutnya, negara-negara Islam perlu menyatukan sumber dan strategi selain menjalinkan kerjasama dengan negara-negara lain yang sehaluan bagi membentuk paksi kuasa baharu yang memperjuangkan keadilan dan multilateralisme sebenar."Kepada seluruh umat Islam, sempena Hari Wukuf ini, marilah kita berdoa demi keamanan, keselamatan, kemajuan dan kesejahteraan umat Islam di seluruh dunia."Zahirkan solidariti dan sokongan kepada mereka yang ditindas seperti rakyat Palestin dan Rohingya dalam perjuangan menuntut kebebasan, hak menentukan nasib sendiri dan maruah," jelasnya.Terdahulu, media melaporkan, Trump meminta negara seperti Arab Saudi, Qatar, Pakistan, Turkiye, Mesir, dan Jordan menyertai Perjanjian Abraham sebagai syarat penyelesaian konflik dengan Iran.Langkah ini bertujuan meluaskan normalisasi hubungan dengan Israel bagi menyatukan kepentingan di Asia Barat, malah Trump turut membayangkan kemungkinan Iran sendiri menyertai perjanjian tersebut bagi membentuk satu pakatan global baharu.
Go to News Site