Sinar Harian
SHAH ALAM - Radio Televisyen Malaysia (RTM) membawakan tiga telefilem istimewa sempena sambutan Aidiladha tahun ini yang mengetengahkan tema pengorbanan, kasih sayang dan kekuatan institusi keluarga.Menurut agensi itu, setiap fasa kehidupan berkeluarga menuntut kesabaran mental dan fizikal selain memerlukan sikap tolak ansur serta komunikasi berterusan bagi membina hubungan yang bahagia."Sambutan Aidiladha turut mengingatkan umat Islam terhadap kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS yang sarat dengan nilai kepatuhan, keikhlasan dan kesediaan melepaskan sesuatu yang disayangi demi tuntutan lebih besar."Dugaan seperti masalah kewangan, perbezaan pendapat dan cabaran mendidik anak menjadi medan untuk memperkukuhkan ikatan kasih sayang dalam keluarga," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Antara telefilem yang bakal disiarkan ialah 'Demi Janji Itu' di TV1 pada 27 Mei, jam 10.30 malam.Drama lakonan Juhara Ayob itu mengisahkan Khadijah, seorang wanita tabah yang membesarkan anak tirinya selepas kematian suami.Bagaimanapun, anak tirinya, Irfan sering memberontak dan terjebak dengan jenayah sebelum satu kejadian menyedarkannya untuk berubah.Turut membintangi drama arahan Bade Azmi itu ialah Fadhli Masoot, Sobri Anuar, Amalina Arham, Aleeza Shadan, Dai Fuad, Kalpana Shree dan Azlan Azmi.Selain itu, RTM turut menyiarkan drama 'Direbus Tak Empuk' di TV2 pada hari sama, jam 3 petang.Telefilem tersebut menampilkan Adeline Tsen sebagai Ai Lin, seorang gadis Cina yang memeluk Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada keluarganya.Dengan sokongan sahabatnya, Zain lakonan Alif Muhaimin, Ai Lin cekal menghadapi cabaran hidup sebelum mereka mendirikan rumah tangga.Dalam pada itu, drama 'Aidil Milik Adha' pula akan disiarkan di saluran Okey pada 27 Mei, jam 9.30 malam.Karya itu dibintangi Wanss Ahmad, Kumika Kufaizul, Adriana Kamaruddin, Hafidzuddin Fazil dan Rosnah Johari.Drama berkenaan mengisahkan perjuangan seorang ayah muda bernama Adha yang sanggup berkorban demi membesarkan anaknya selepas perkahwinannya dipisahkan keluarga isterinya.
Go to News Site