Collector
Dua penjenayah sasar kediaman di Selangor, Melaka mati ditembak | Collector
Dua penjenayah sasar kediaman di Selangor, Melaka mati ditembak
Sinar Harian

Dua penjenayah sasar kediaman di Selangor, Melaka mati ditembak

KAJANG - Kumpulan samun bersenjata yang ditumpaskan selepas dua ahlinya ditembak mati polis di Jalan Persiaran Seri Putra 2, Bandar Seri Putra, di sini pada Isnin, dikesan dipercayai aktif di Selangor dan Melaka menjadikan sasaran kediaman berhampiran lebuh raya dan tiada kamera litar tertutup (CCTV) bagi menyukarkan untuk dikesan.Kedua-dua suspek ditumpaskan selepas berbalas tembakan dengan Bahagian Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kereta jenis Proton Wira dinaiki suspek berusia 25 dan 46 tahun dikesan menerusi rondaan cegah kejadian samun kira-kira jam 9.10 malam dalam keadaan mencurigakan sebelum diekori.Menurutnya, kereta terbabit kemudian dipintas anggota D9 dan menjerit 'polis' untuk diarahkan berhenti."Suspek bagaimanapun enggan berhenti dan terus memecut laju sehingga berlaku perlanggaran."Suspek telah melepaskan tembakan ke arah anggota polis dan bagi menghentikan ancaman, polis telah membalas tembakan. Suspek disahkan maut akibat terkena tembakan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini pada Selasa.Beliau berkata, barang yang ditemui dalam kereta suspek ialah sepucuk revolver.38 smith & wesson, enam butir peluru, tiga butir kelongsong peluru dan empat bilah parang.Tambahnya, turut dijumpai pakaian, topeng muka, sarung tangan, peralatan pecah rumah iaitu besi kuku kambing, tukul besi, pemutar skru, pemotong besi dan wayar kabel selain tiga keping nombor plat kenderaan."Semakan mendapati suspek mempunyai kira-kira 30 kes rekod jenayah lampau bersabit rompakan berkumpulan, pecah rumah dan curi kenderaan," ujarnya.Dalam kejadian itu, siasatan polis mendapati suspek yang tidak menetap di Selangor itu menggunakan kenderaan milik orang lain.Dedah beliau, kumpulan suspek terbabit dipercayai aktif lebih setahun di beberapa kawasan di Selangor seperti Sungai Buloh, Kajang, Bangi dan Banting selain Negeri Melaka.Beliau berkata, kumpulan itu dipercayai mempunyai kira-kira 10 ahli dan turut memilih kawasan yang kurang liputan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelakkan pergerakan mereka dikesan pihak berkuasa."Modus operandi kumpulan ini adalah mencari sasaran rumah berhampiran lebuh raya sebelum melarikan diri menggunakan laluan itu," ujarnya.Jelasnya, suspek juga melakukan jenayah dengan bertindak agresif mencederakan mangsa sekiranya diancam."Polis masih mengenal pasti peranan suspek dan jumlah kes melibatkan kumpulan mereka dan usaha menjejak ahli lain yang masih bebas sedang giat dijalankan," ujarnya.Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Go to News Site