Sinar Harian
MAKKAH - Ibadah haji bukan sekadar perjalanan menuju ke Tanah Suci untuk melaksanakan rukun Islam kelima, sebaliknya menjadi medan tarbiah yang membentuk jiwa rabbani, memperkukuh akhlak dan melahirkan masyarakat yang bersatu serta berteraskan nilai kemanusiaan.Perkara itu menjadi antara intipati utama Khutbah Arafah 1447H/2026M yang disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan di Padang Arafah, hari ini.Beliau berkata, perhimpunan jutaan umat Islam dari pelbagai negara, bangsa dan latar belakang di Tanah Suci membuktikan bahawa perbezaan bukan penghalang kepada kesatuan, malah menjadi kekuatan dalam membina sebuah masyarakat yang harmoni dan sejahtera."Ibadat haji yang merupakan madrasah tarbiah telah mengajar, mendidik dan menanam nilai karamah insan, prinsip keadilan dan kesaksamaan, erti toleransi dan empati, saling membantu dan saling menyayangi tanpa prejudis dan diskriminasi, mendidik manusia membina jiwa rabbani dan kekuatan rohani," katanya.Zulkifli berkata, lafaz talbiah yang sentiasa dilaungkan sepanjang musim haji merupakan pengisytiharan tauhid dan ketaatan mutlak kepada Allah SWT, selain melambangkan kesediaan seorang hamba untuk menyahut panggilan Tuhan serta menjadikan kehidupan seluruhnya berpusat kepada-Nya.Zulkifli berkata, haji juga merupakan perjalanan kembali kepada fitrah yang sebenar, bukan sekadar perpindahan jasad ke Tanah Suci tetapi perubahan jiwa daripada kelalaian kepada kesedaran serta daripada dosa kepada pengampunan ALLAH SWT.Beliau berkata, lebih daripada itu, ibadah berkenaan mengajar manusia tentang erti perdamaian dan persaudaraan apabila setiap jemaah meninggalkan sementara pangkat, kedudukan serta kemegahan duniawi demi berdiri sama rata sebagai hamba di hadapan ALLAH SWT."Haji seolah-olah datang menegur manusia yang terlalu mudah berpecah, terlalu cepat bermusuhan dan terlalu sibuk mempertahankan kelompok masing-masing sehingga terlupa bahawa persaudaraan jauh lebih besar daripada perbezaan," katanya.Beliau turut menjelaskan bahawa segala pantang larang ketika ihram dan sepanjang berada di Tanah Suci sebenarnya merupakan proses pendidikan yang perlu dibawa pulang ke tanah air.Katanya, manasik seperti melontar jamrah bukan sekadar ritual, sebaliknya simbolik membuang sifat-sifat buruk yang bersarang dalam diri, khususnya sikap yang boleh memudaratkan orang lain dan merosakkan keharmonian masyarakat.Zulkifli berkata, akhlak yang dibentuk menerusi ibadah haji bukan sahaja memperkukuh hubungan manusia dengan Allah SWT, malah mempererat hubungan sesama manusia serta menjadi asas kepada pembinaan Masyarakat MADANI yang harmoni dan sejahtera."Kemajuan sebenar sesebuah umat tidak hanya diukur melalui pembangunan fizikal atau kemajuan material, tetapi turut bergantung kepada pembangunan jiwa, watak dan akhlak," katanya.Beliau berkata, masyarakat yang bertamadun hanya dapat dibina melalui akhlak yang baik, sifat sabar, toleransi dan kemampuan meraikan kepelbagaian dalam bingkai kesatuan.Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam menjadikan ibadah haji sebagai titik perubahan untuk melahirkan insan yang lebih bertakwa, berilmu dan berakhlak mulia serta mampu menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang dirahmati ALLAH SWT. - Bernama
Go to News Site