Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Ladang ternakan lembu premium, Colla Cattle Farm menerima pembelian lebih 100 ekor lembu sado bagi kategori berat 500 kilogram ke atas untuk ibadah korban tahun ini berbanding 60 ekor tahun lepas.Ketua Pegawai Eksekutif ladang berkenaan, Jamal Abdul Karim berkata, bagi kategori berat melebihi 800 kilogram pula meningkat kepada 16 ekor yang dijual tahun ini berbanding enam ekor tahun lepas dengan harga serendah RM16,500"Kalau ikut kategori kami sendiri, lembu sado ialah lembu yang beratnya 800 kilogram ke atas. Tetapi kalau di luar sana, lembu 500 kilogram pun sudah dianggap sado."Kalau ambil kira kategori 500 kilogram ke atas, kami sudah menjual lebih 100 ekor lembu sado tahun ini dengan peningkatan permintaan yang sangat tinggi."Harga seekor lembu sado ketika ini bermula sekitar RM10,000 sehingga RM25,000 bergantung kepada saiz dan kategori premium haiwan berkenaan," katanya kepada Sinar Harian.Jamal memaklumkan, lembu sado di ladang berkenaan bagi ibadah korban tidak dijual mengikut bahagian kerana kebanyakan pelanggan memilih pembelian secara seekor penuh."Kita hanya jual bahagian untuk lembu biasa sahaja dengan harga RM850 bagi satu bahagian," katanya.Ujar beliau lagi, pihaknya mempunyai sistem penggredan tersendiri melibatkan kategori A, B, C serta premium satu hingga sembilan bagi memenuhi permintaan pelanggan.Menurutnya, majoriti pelanggan kini lebih cenderung memilih lembu dalam kategori premium berbanding kategori biasa."Kalau ikut data semasa, lembu gred C hanya terjual tiga ekor sahaja. Kebanyakan pelanggan pilih premium satu sampai premium sembilan."Ini menunjukkan kemampuan rakyat Malaysia untuk melakukan ibadah korban masih tinggi dan mereka mahu melakukan ibadah itu dengan pilihan yang terbaik," jelasnya.Dalam pada itu, Jamal berkata, kos penternakan lembu premium terutama lembu sado dan wagyu jauh lebih tinggi berbanding lembu biasa kerana faktor pemakanan.Katanya, kos makanan harian bagi seekor lembu wagyu boleh mencecah RM30 hingga RM35 sehari, manakala lembu sado pula sekitar RM15 hingga RM20 sehari berbanding lembu biasa yang hanya sekitar RM10 sehari."Kalau untuk lembu sado, kos membela daripada lahir sehingga matang boleh mencecah RM6,000 hingga RM8,000 seekor."Daripada keseluruhan kos penternakan, kira-kira 60 peratus sebenarnya datang daripada kos makanan," jelasnya.Beliau berkata, tempoh pembesaran lembu sado kebiasaannya sekitar dua tahun sebelum dijual, manakala tempoh maksimum simpanan adalah sehingga dua tahun enam bulan.Menurutnya, bagi lembu wagyu pula, tempoh pembesaran lebih panjang iaitu sekitar 36 hingga 40 bulan, namun baka itu tidak digunakan untuk ibadah korban.Menyentuh mengenai trend pembelian lembu premium, beliau percaya kebanyakan pelanggan bukan mahu menunjuk-nunjuk sebaliknya mahu melaksanakan ibadah korban dengan lebih sempurna mengikut kemampuan masing-masing.
Go to News Site