Sinar Harian
PEKAN - Inspektor polis dan isteri maut manakala empat anak mereka cedera termasuk dua parah dalam kemalangan melibatkan dua kereta di Kilometer 76, Jalan Kuantan-Segamat dekat Paloh Hinai di sini pada Rabu.Kemalangan kira-kira jam 3 pagi itu turut mencederakan pasangan suami isteri yang berada dalam sebuah lagi kereta terlibatKetua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mangsa, Syah Lokman Ludza Ramli, 50 bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan isteri, Nurulfiza Ardiana Amba, 46 meninggal dunia di tempat kejadian.Menurutnya, dua anak pasangan itu, Muhammad Adib, 18 dan Muhammad Akif, 10 parah manakala dua lagi, Muhammad Aqil,13 serta Nur Arissa Safiya, 15 cedera ringan."Pemandu sebuah lagi kereta,Muhammad Syafiq Ali Ahmad, 26 dan isterinya, Nur Aqilah Musa, 26 yang mengandung lima bulan dilaporkan cedera,"katanya.Mohd Zaidi berkata, siasatan awal mendapati, kereta jenis Honda City dipandu Muhammad Syafiq yang bekerja sebagai jurukimpal di Singapura dipercayai dalam perjalanan dari arah Gelang Patah, Johor menghala ke Terengganu."Mangsa yang memandu kereta jenis Proton Wira bersama isteri dan empat anak pula dipercayai dari arah Kuantan menghala ke Jempol, Negeri Sembilan. "Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu inspektor polis itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Honda City," katanya.Beliau berkata, akibat dari kemalangan tersebut, mangsa dan isteri mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian."Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk menerima rawatan."Kemalangan meragut dua nyawa itu kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.
Go to News Site