Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Seorang pesara tentera maut selepas motosikal ditunggangnya gagal mengelak sebuah kereta yang keluar dari simpang sebelum melanggar kenderaan itu dalam kejadian di Jalan Kampung Pandan di sini pada Ahad.Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Polis Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC dan kereta jenis BMW.Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal di lorong kiri jalan dipercayai melanggar bahagian sisi kanan BMW yang keluar dari simpang di sebelah kiri jalan."Akibat kemalangan, lelaki tempatan yang berusia 45 tahun itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan lanjut."Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Bahagian Kecemasan hospital berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Katanya, pemandu BMW berusia 44 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan manakala penumpang lain di dalam kenderaan itu turut selamat."Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berhampiran mendapati pemandu datang ke lokasi berkenaan untuk mengambil rakannya sebelum mahu bergerak menuju ke Damansara."Pemandu terbabit ditahan pada Isnin bagi membantu siasatan, saringan Evidential Breath Analyzer (EBA) dan air kencing yang dijalankan mendapati lelaki itu negatif alkohol serta dadah," katanya.Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987."Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.Terdahulu tular video di media sosial memaparkan sebuah kereta dilihat meluru keluar dari simpang sebelum dilanggar sebuah motosikal di sini.
Go to News Site