Sinar Harian
JOHOR BAHRU – Sepasang bakal pengantin memberi alasan takut terlewat menghadiri kursus perkahwinan selepas dicekup berkhalwat di sebuah hotel di Senai dekat sini, awal pagi Rabu.Pasangan yang bekerja di Kulai itu ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam operasi cegah maksiat kira-kira jam 1 pagi.Menurut JAINJ, pemeriksaan dilakukan secara berkala dan rambang di hotel berkenaan sebelum penguat kuasa mengetuk pintu sebuah bilik hotel."Pintu dibuka kira-kira lima minit kemudian oleh seorang lelaki yang hanya memakai tuala dan tidak berbaju sebelum penguat kuasa memperkenalkan diri untuk pemeriksaan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.Hasil pemeriksaan mendapati seorang wanita berada di atas katil dalam keadaan berselimut di dalam bilik yang gelap.Pemeriksaan lanjut oleh penguat kuasa wanita mendapati wanita berkenaan tidak berpakaian sebelum diminta memakai pakaian lengkap di dalam tandas.Turut ditemui keadaan katil yang tidak terurus selain sehelai lagi tuala basah di dalam bilik berkenaan.Siasatan mendapati pasangan terbabit bukan suami isteri, namun mengaku bakal menghadiri kursus perkahwinan di Larkin pada keesokan harinya.Menurut JAINJ, semakan mendapati pasangan itu sememangnya telah mendaftar untuk mengikuti kursus perkahwinan dan merancang bernikah hujung tahun ini."Pemeriksaan turut menemui baju Melayu dan baju kurung yang dipercayai untuk dipakai ke kursus kahwin tersebut," katanya.Difahamkan, rumah kedua-dua individu itu terletak kira-kira 10 kilometer dari hotel terbabit, manakala lokasi kursus di Larkin hanya sekitar 20 kilometer dari hotel.Ketika ditanya sebab memilih untuk bermalam di hotel, pasangan itu memberi alasan takut terlambat dan terlewat bangun tidur.Pasangan berusia 20-an dan 30-an itu kini disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor kerana disyaki berkhalwat.
Go to News Site