Collector
PKR kini ‘cedera dan parah’, sedih ahli keluar sertai Bersama - Hassan Karim | Collector
PKR kini ‘cedera dan parah’, sedih ahli keluar sertai Bersama - Hassan Karim
Sinar Harian

PKR kini ‘cedera dan parah’, sedih ahli keluar sertai Bersama - Hassan Karim

JOHOR BAHRU - Gelombang ahli dan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meninggalkan parti untuk menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) disifatkan sebagai situasi membimbangkan yang boleh menjejaskan kekuatan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengakui sedih dan pilu melihat keadaan parti yang dirasakan sedang dilanda badai besar ketika ini.Veteran PKR itu berkata, suasana yang berlaku ketika ini mengingatkannya kepada episod Langkah Sheraton apabila beberapa ahli Parlimen PKR meninggalkan parti bagi menyokong pembentukan kerajaan baharu."Hari ini hari raya kedua Aidiladha. Jam 11 pagi. Satu dua hari ini aku terkenang semasa berada di Mekah, wukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah dan melontar Jamrah di Mina sebelum kembali ke Kaabah melakukan tawaf dan saie."Tetapi pagi ini, aku berasa sedih dan pilu, melihat keadaan PKR, tentang badai dan ribut yang sedang memukul bahtera yang aku berada di dalamnya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.Menurut Hassan, beliau kini melihat satu demi satu pengumuman keluar parti dibuat oleh individu yang mahu menyertai Bersama dipimpin bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli."Kubuka telefon pintar dan aku menonton video dan mendengar pengumuman demi pengumuman kawan-kawan yang aku kenal atau yang aku tak kenal, masing-masing mengumumkan keluar dari Keadilan untuk menyertai parti baharu pimpinan sahabatku Rafizi Ramli, Parti Bersama Malaysia dengan logo Sang Kancil," katanya.Beliau berkata, berbeza dengan situasi enam tahun lalu ketika Langkah Sheraton, kali ini beliau tidak lagi mempunyai kekuatan untuk memujuk ahli-ahli PKR supaya terus kekal bersama parti."Ketika itu aku Pengerusi Keadilan di negeri Johor. Sebagai contoh, aku menelefon Ahli Parlimen Segamat dan Ahli Parlimen Batu Pahat supaya jangan tinggalkan Keadilan, jangan mengkhianati perjuangan."Usahaku gagal. Dua ahli Parlimen dari Johor itu tetap menyertai ahli-ahli Parlimen lain daripada Keadilan, 10 orang kesemuanya, melompat menyokong Muhyiddin untuk membentuk Kerajaan gabungan Perikatan Nasional yang pertama," katanya.Hassan turut mengakui faktor usia menyebabkan beliau kini memilih untuk lebih banyak berdiam diri walaupun melihat semangat perjuangan dalam kalangan pemimpin kanan PKR semakin pudar."Tetapi kini aku sudah tua dan tidak terdaya lagi menongkah arus untuk selamatkan Parti Keadilan. Aku hanya melihat ramai sahabat-sahabatku di kalangan ahli-ahli Parlimen senior Keadilan sudah hilang semangat dengan Parti Keadilan di waktu ini," katanya.Dalam masa sama, beliau berkata, dirinya masih kekal menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani walaupun ada beberapa perkara yang tidak dipersetujuinya termasuk isu tarif perdagangan melibatkan Amerika Syarikat (AS)."Aku di tengah-tengah mereka yang masih memberi kepercayaan kepada PMX, Keadilan dan Kerajaan Madani, walau sekali sekala sama seperti Rafizi, aku turut tidak bersetuju dengan PMX dan Kerajaan pimpinannya," katanya.Mengulas keadaan semasa PKR, Hassan menyifatkan parti itu kini berada dalam keadaan ‘cedera, luka dan parah’ serta memerlukan rawatan segera sebelum keadaan menjadi lebih buruk menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16)."Aku melihat Keadilan sekarang, cedera, luka dan parah. Banyak darah yang keluar. Jika tidak segera dirawat, boleh membawa lumpuh jika pun tidak, mati," katanya.Bagaimanapun beliau masih berharap PKR mampu bangkit menghadapi ujian dalaman itu dan percaya masa depan parti berkenaan akan ditentukan rakyat pada PRU16 nanti."Jika Keadilan tidak tumpas dalam PRU-16 nanti, maka ia ada masa depan. Jika menang bergaya, maka PMX akan ditabalkan sebagai Perdana Menteri sekali lagi."Tetapi jika Keadilan tewas di peti undi atas pilihan rakyat maka semua pimpinan dan anggota PKR perlu bermuhasabah diri," katanya.

Go to News Site