Sinar Harian
KEHILANGAN pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, ketika melakukan pendakian di Gunung Batu Putih baru-baru ini mengembalikan ingatan ramai kepada satu lagi misteri kehilangan yang sehingga kini masih belum terungkai.Misteri kehilangan peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan atau lebih dikenali sebagai Acap, masih belum terungkai walaupun lebih tujuh tahun berlalu sejak dia dilaporkan hilang ketika menyertai perlumbaan lasak itu pada 23 Mac 2019.Acap yang ketika itu berusia 29 tahun dilaporkan gagal dikesan selepas tidak tiba di pusat pemeriksaan terakhir perlumbaan yang berlangsung di kawasan hutan dan bukit sekitar Gopeng.Kehilangannya disedari apabila dia tidak menamatkan perlumbaan sebelum rakannya membuat laporan polis di Balai Polis Gopeng pada jam 1.09 pagi, 24 Mac 2019.ARTIKEL BERKAITAN: Kronologi kehilangan AcapKehilangan Acap: Jangan obses unsur mistikKehilangan Acap: 'Abang tidak pernah tinggal kamu'Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) berskala besar dilancarkan melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan, pasukan keselamatan lain serta ratusan sukarelawan dan penduduk kampung.Sepanjang hampir sebulan operasi dijalankan, pelbagai aset digunakan termasuk unit anjing pengesan, dron, helikopter dan pasukan khas pencarian darat bagi menjejaki Acap di kawasan hutan, bukit dan sungai sekitar Gopeng.Bagaimanapun, usaha berkenaan tidak membuahkan hasil apabila tiada petunjuk kukuh ditemukan. Operasi SAR akhirnya ditamatkan secara rasmi pada 17 April 2019.Mengimbau kes kehilangan Acap, bekas Ketua Kampung Pintu Padang, Mohd Fairis Zabidi berkata, penduduk kampung turut bertungkus-lumus membantu pihak berkuasa sepanjang operasi pencarian dijalankan.Menurutnya, Kampung Pintu Padang yang menjadi lokasi Pusat Kawalan Operasi Bomba (PKOB) ketika itu menerima kehadiran ramai individu dari pelbagai lokasi yang menawarkan bantuan."Kebanyakan penduduk kampung melakukan pencarian di kawasan kaki Bukit Batu Putih dan ada juga yang menyusuri Sungai Kampar."Laluan perlumbaan itu memang mencabar kerana peserta perlu melalui Kampung Jahang, meredah Sungai Kampar, mendaki Bukit Batu Putih sebelum berpatah balik ke kawasan Gunung Kandu dan menuju ke pusat pemeriksaan terakhir."Walaupun pelbagai usaha dilakukan, tiada sebarang petunjuk berjaya ditemukan sepanjang pencarian," katanya memetik laporan media.Mengulas mengenai pelbagai spekulasi yang timbul ketika itu, Mohd Fairis berkata, kampung berkenaan turut dikunjungi ramai individu yang mendakwa mempunyai kebolehan paranormal.Menurutnya, lebih 20 individu yang mengaku sebagai bomoh pernah datang sepanjang operasi SAR berlangsung."Ada yang datang pada waktu siang dan malam dengan mendakwa mengetahui lokasi Acap berada."Antara dakwaan yang dibuat termasuk mengatakan Acap berada di belakang rumah penduduk, di bawah pokok tertentu atau tertimbus dalam tanah."Keadaan itu sedikit sebanyak menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan penduduk kerana pelbagai tanggapan negatif mula dikaitkan dengan kampung ini," katanya.Kes kehilangan Acap terus menjadi antara misteri kehilangan individu paling mendapat perhatian di negara ini.Walaupun pelbagai teori dan spekulasi muncul sejak 2019, sehingga kini tiada sebarang bukti atau petunjuk baharu yang dapat menjelaskan nasib sebenar peserta larian tersebut.
Go to News Site