Sinar Harian
PENAMPANG - Geran khas interim bagi Sabah dinaikkan kepada RM1.5 bilion berbanding RM600 juta sementara menunggu kaedah pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil negeri itu dimuktamadkan seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.Beliau berkata, jumlah berkenaan hanya bersifat interim kerana perbincangan mengenai jumlah sebenar pemberian berdasarkan tuntutan 40 peratus hasil negeri masih perlu dimuktamadkan melalui rundingan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri."Soal 40 peratus (hasil Sabah) walaupun dikatakan keadaan kewangan 112D (mekanisme semakan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan), bagi saya tutup. Jangan orang pertikai keputusan kita untuk melaksanakan janji ini."Sama (ada) yang dibuat bulan Jun atau Disember, itu harus diputuskan dua-dua jawatankuasa dan kemudian dibawa kepada kerajaan negeri di peringkat tertinggi dan perundingan antara Persekutuan dan negeri," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini hari ini.Menepis tanggapan segelintir pihak mendakwa Sabah terus diabaikan, Anwar berkata, hasil kutipan kerajaan Persekutuan daripada Sabah adalah sekitar RM10 bilion setahun, namun dana peruntukan perbelanjaan pembangunan yang disalurkan semula mencecah angka lebih besar iaitu RM17 bilion.Perdana Menteri berkata, kerajaan Persekutuan turut menjangkakan subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) untuk Sabah meningkat kepada RM3 billion tahun ini berbanding RM1 billion tahun lepas, berikutan krisis bekalan global yang sedang berlaku.Beliau berkata, pendedahan angka berkenaan bukan bertujuan menafikan hak 40 peratus hasil negeri itu, sebaliknya bagi memberi gambaran sebenar kepada rakyat agar tidak terpengaruh dengan sentimen politik yang tidak bertanggungjawab."Walaupun berdepan peningkatan kos yang melambung, Kerajaan Madani kekal komited mempertahankan harga bahan api, khususnya petrol RON95 pada paras yang terendah di dunia demi menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat."Jangan nafikan (usaha kerajaan Persekutuan) seolah-olah kita dianiaya, dianaktirikan, disengsarakan. Ini politik picisan. Tidak akan membawa semangat perpaduan kita. Itu politik satu penipuan fakta. Hanya untuk mencari dukungan suku-suku kaum itu. Tidak berdasarkan fakta," katanya. - Bernama
Go to News Site