Sinar Harian
TUMPAT – Cubaan menyembunyikan 825 liter minyak diesel di sebuah stor terpencil berhampiran tanah perkuburan di Kampung Surau Lama Geting, Pengkalan Kubor terbongkar selepas lokasi itu diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan pada Jumaat.Dalam serbuan menerusi Ops Tiris kira-kira jam 5.45 petang itu, pihak berkuasa merampas 825 liter diesel bernilai lebih RM4,000 yang dipercayai disimpan bagi tujuan penyelewengan.Pengarah KPDN Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, operasi bersepadu itu dijalankan oleh sepasukan pegawai Unit Risikan dan Tindakan Khas (URTK) KPDN Kelantan dengan kerjasama Unit Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat serta Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.Menurut beliau, serbuan dilakukan hasil maklumat risikan dan pemantauan yang dijalankan pihaknya sejak beberapa ketika lalu."Pemeriksaan di lokasi mendapati sindiket dipercayai menggunakan sebuah stor yang terletak bersebelahan kilang ais dan berhadapan tanah perkuburan sebagai lokasi penyimpanan barang kawalan bagi mengaburi pihak berkuasa."Hasil pemeriksaan lanjut menemukan sebuah kotak futon berwarna putih yang digunakan untuk menyimpan 33 tong berkapasiti 25 liter setiap satu mengandungi cecair disyaki diesel dengan jumlah keseluruhan 825 liter," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melanggar Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu menyimpan barang kawalan tanpa permit atau lesen sah.Katanya, semua barang kes telah dirampas dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan individu lain yang dipercayai terlibat dalam kegiatan tersebut."KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi."Tindakan penguatkuasaan secara berterusan akan dipergiat bagi memastikan ketirisan dan penyalahgunaan barang kawalan dapat dibendung demi menjaga kepentingan rakyat dan negara," katanya.
Go to News Site