Sinar Harian
IPOH – Seorang pensyarah Politeknik Ungku Omar (PUO) maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan motosikal dan sebuah kereta di Jalan Sultan Azlan Shah di sini, pada Sabtu.Mangsa, Sarafuddin Alang Osman, 59, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, kemalangan kira-kira jam 10 pagi itu melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan motosikal Benelli Napoleon 500.Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki tempatan berusia 89 tahun itu dalam perjalanan dari arah Ipoh menuju ke Jalan Pinji Seni 5."Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta berkenaan dipercayai membuat belokan ke kanan untuk memasuki simpang."Pada masa sama, motosikal ditunggang lelaki tempatan berusia 59 tahun dari arah bertentangan melanggar bahagian hadapan kiri kereta tersebut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Muhammad Najib berkata, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk proses bedah siasat."Hasil bedah siasat mendapati punca kematian ialah kecederaan pelbagai akibat kemalangan jalan raya," katanya.Menurutnya, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.Kedua-dua kenderaan terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi tujuan siasatan lanjut."Polis turut mengesan saksi bebas dan rakaman kamera papan pemuka bagi membantu siasatan," katanya.Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan siasatan masih diteruskan.Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kes atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.Sementara itu, PUO menerusi hantaran di Facebook memaklumkan Allahyarham merupakan pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Perkapalan.Menurut hantaran itu, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada warga PUO.
Go to News Site