Collector
Gelora besar menanti | Collector
Gelora besar menanti
Sinar Harian

Gelora besar menanti

KEBANYAKAN rakyat Malaysia masih mengisi minyak kereta, membeli barangan dapur dan menjalani kehidupan harian tanpa menyedari kejutan Hormuz sedang secara senyap mengubah landskap kehidupan mereka.Kesan berantai daripada kekurangan bekalan hingga tekanan terhadap barisan pengeluaran sebenarnya sudah mula terbina walaupun belum sepenuhnya dirasai oleh isi rumah.Apa yang kelihatan tenang di stesen minyak atau rak pasar raya sebenarnya menyembunyikan tekanan lebih mendalam terhadap subsidi, kilang dan rantaian makanan yang boleh mula terserlah lebih awal daripada dijangkakan ramai.Unjuran pertumbuhan ekonomi terkini Bank Negara Malaysia sebanyak empat hingga lima peratus kini dilihat terdedah kepada risiko, dengan Agensi Tenaga Antarabangsa menyifatkan penutupan Selat Hormuz susulan konflik Amerika Syarikat-Israel-Iran sebagai ‘gangguan bekalan paling serius dalam sejarah pasaran minyak global’.Kebergantungan Malaysia terhadap import bahan api bertapis dan makanan pula menyebabkan kejutan itu bukan sahaja menjejaskan kos tenaga, malah kestabilan keperluan harian rakyat.Laporan menunjukkan trafik kapal tangki melalui Selat Hormuz telah merosot lebih 90 peratus, sekali gus mengurangkan eksport minyak Teluk sekitar 60 peratus.Gangguan itu kini mula dirasai di kilang-kilang Malaysia apabila kelewatan bekalan bahan mentah mengancam jadual pengeluaran.Penganalisis berpandangan jika keadaan itu berpanjangan, tekanan tersebut boleh memberi kesan kepada pekerjaan dan gaji.Namun, meskipun harga petrol dan makanan semakin meningkat, tahap kesedaran awam masih rendah. Rak pasar raya kelihatan masih penuh dan rutin harian berjalan seperti biasa tetapi perniagaan sebenarnya sedang secara senyap menanggung peningkatan kos. Pakar memberi amaran jurang antara persepsi dan realiti itu berbahaya.Semakin lama rakyat Malaysia tidak menyedari situasi sebenar, semakin sukar untuk mereka bersedia menghadapi penyesuaian bakal berlaku.Apa yang berbeza kali ini?Walaupun Malaysia sebuah negara yang relatif muda pada usia 63 tahun, ia bukan kali pertama negara berdepan kejutan minyak besar, ini yang ketiga.Namun, apakah yang membezakan krisis kali ini berbanding krisis pada 1973 dan 1979 ketika Petronas membantu meredakan kesannya dalam krisis kedua?Penyelidik dan penganalisis dasar dari South-East Asian Futures Initiative Centre (SEAFIC), Dr Mikhail Rosli berkata, krisis semasa bukan semata-mata berkaitan harga minyak, sebaliknya ia adalah krisis bekalan.Beliau menjelaskan kali ini syarikat minyak nasional itu tidak lagi mampu menyerap impak dengan cara sama seperti sebelum ini.Ujarnya, pada 1979, kenaikan harga minyak menjadi durian runtuh fiskal apabila keuntungan tambahan terus mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan."Hari ini Petronas masih memperoleh keuntungan apabila harga minyak melonjak tetapi masalah sebenar bukanlah harga minyak."Masalah sebenar ialah Malaysia bergantung kepada negara Teluk bagi perkara yang bukan minyak, nafta untuk plastik, ammonia dan urea untuk baja serta gas petroleum cecair (LPG) untuk petrokimia."Aliran bekalan ini sama ada terus berjalan atau terhenti tanpa mengambil kira berapa banyak keuntungan diperoleh Petronas," katanya.Menurut beliau, cara paling mudah memahami keadaan itu ialah Petronas boleh membantu mengurangkan masalah hasil pen-dapatan tetapi ia tidak mampu menyelesaikan masalah bekalan.Mengenai persoalan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih yang memberi subsidi besar kepada bahan api mengubah bagaimana kejutan Hormuz memberi kesan kepada isi rumah dan perniagaan, Mikhail berkata, subsidi hanya membantu menstabilkan harga tetapi tidak menyelesaikan isu bekalan.Ujarnya, isi rumah tetap akan merasai tekanan dari sudut bekalan, antaranya makanan, pembungkusan dan apa sahaja yang bergantung kepada bahan kimia atau baja dari Teluk. Subsidi tidak meliputi semua itu.Tambah beliau, bagi perniagaan kecil, kesannya lebih ketara kerana bahan api untuk kegunaan industri, baja dan logistik semuanya bergerak mengikut harga global tetapi isi rumah mungkin tidak melihat perubahan ketara di pam minyak dan itulah fungsi subsidi."Kos sebenar akan muncul dalam rekod kewangan kerajaan, bukannya di stesen minyak."Saya ada membaca anggaran daripada Kementerian Kewangan bahawa bil subsidi boleh mencecah RM58 bilion. Untuk memberi gambaran, jumlah itu cukup untuk membiayai sebuah lagi Kementerian Kesihatan selama setahun."Jika digunakan untuk hospital, ia boleh membina antara 80 hingga 100 fasiliti utama," katanya.Masalah tersembunyi semakin menghampiriDitanya sejauh mana keadaan boleh menjadi buruk, Mikhail berkata, negara kini ‘jauh lebih hampir ke garisan kritikal daripada yang disedari ramai’ dengan kerajaan sedang berusaha mengelak kejutan kenaikan harga.Menurutnya, walaupun Malaysia dijangka mempunyai bekalan makanan dan baja mencukupi sehingga hujung tahun, selain usaha mendapatkan 90 peratus keperluan bahan api bagi Julai, seperti dimaklumkan Pengarah Kanan (Ekonomi dan Kewangan) Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein, namun tekanan sebenar-sebenarnya tertumpu kepada sektor pembuatan.Pemain industri termasuk Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) mengenal pasti kira-kira 60 jenis barangan digunakan dalam pengeluaran berisiko mengalami kekurangan bekalan."Jadi, saya tidak fikir tanda pertama akan kelihatan ialah rak kosong, sebaliknya ia akan bermula dengan penggantian, pem-bungkusan berbeza, bahan berbeza dan syarikat secara senyap mengubah cara operasi," katanya.Sementara itu, Profesor Ekonomi Sunway University, Dr Yeah Kim Leng berkata, risiko tersembunyi terletak pada kekurangan bahan api dan bahan mentah kritikal merentasi pelbagai industri."Ia melibatkan pelbagai sektor seperti plastik, pembungkusan, baja dan makanan hinggalah bekalan perubatan, elektronik, barangan pengguna, bahan kimia serta mesin," ujarnya.Tanpa input penting itu, katanya, industri mungkin terpaksa mengurangkan pengeluaran atau menghentikan operasi sekiranya bekalan gagal diperoleh atau kos menjadi terlalu tinggi."Ketika ini kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Krisis bagi memantau dan menangani isu bekalan termasuk membantu pemain industri mendapatkan sumber alternatif dengan segera dan melaksanakan pengaturan kerajaan dengan kerajaan (G2G) bagi mendapatkan input kritikal," katanya.Ketua Pegawai Eksekutif Centre for Market Education, Carmelo Ferlito pula berkata, banyak sektor yang kelihatan tidak berkaitan dengan minyak sebenarnya mempunyai hubungan mendalam melalui rantaian bekalan."Risikonya bukan hanya harga petrol di stesen minyak. Ia adalah kesan terkumpul daripada peningkatan kos tenaga merentasi pengeluaran, penyimpanan, pengangkutan dan pengedaran," jelasnya.Kepentingan rakyat memahami situasi sebenarBeliau berkata, pemahaman awam amat penting kerana kejutan ekonomi tidak akan hilang hanya kerana kenaikan harga disembunyikan."Jika harga bahan api dikawal secara buatan melalui subsidi, kos sebenar tetap perlu ditanggung di tempat lain sama ada menerusi belanjawan kerajaan, hutang awam, cukai, ruang fiskal yang semakin sempit atau kelemahan perkhidmatan awam," ujarnya.Beliau menegaskan kesedaran membantu isi rumah dan perniagaan membuat keputusan yang lebih baik.Katanya, jika rakyat memahami subsidi di pam minyak tidak menghapuskan kejutan ekonomi, sebaliknya hanya menyembunyikan sebahagian daripadanya, mereka boleh membuat persediaan secara lebih realistik."Mereka boleh menyesuaikan perbelanjaan, menilai semula kos dan tidak terkejut apabila kos tidak langsung mula muncul dalam makanan, pengangkutan, pembungkusan serta perkhidmatan."Masyarakat yang memahami isyarat harga juga kurang mudah terpengaruh dengan naratif populis."Rakyat lebih cenderung menerima reformasi jika mereka faham pilihannya bukan antara ‘minyak murah’ dan ‘minyak mahal’ tetapi antara bantuan telus serta bersasar dengan beban fiskal tersembunyi," katanya.Kim Leng yang turut senada dengan pandangan itu berkata, kesedaran lebih tinggi terhadap tahap serius dan tempoh krisis membolehkan persediaan serta daya tahan yang lebih baik.Menurutnya, amaran awal dan langkah persediaan akan membantu isi rumah serta perniagaan mengurangkan kesan ekonomi jangka panjang.Dalam pada itu, Mikhail turut menggariskan tiga sebab utama kesedaran awam amat penting iaitu mengurangkan pembelian panik, membina sokongan terhadap reformasi yang diperlukan dan memelihara maruah rakyat.Menurutnya, reformasi diperlukan bagi menghadapi krisis masa depan mempunyai kos politik yang tinggi.Ujarnya, ia memerlukan sokongan rakyat, kesediaan menerima sedikit kesukaran jangka pendek demi manfaat jangka panjang.

Go to News Site