Collector
106 produk, satu selat terhalang | Collector
106 produk, satu selat terhalang
Sinar Harian

106 produk, satu selat terhalang

KUALA LUMPUR - Penutupan Selat Hormuz bukan lagi sekadar krisis geopolitik yang jauh, sebaliknya kesannya boleh dirasai secara langsung oleh setiap isi rumah di Malaysia sekiranya gangguan bekalan itu berpanjangan.Sebanyak 106 jenis produk diimport Malaysia melalui Selat Hormuz berdasarkan data dikumpulkan badan pemikir Southeast Asian Futures Initiative Centre (Seafic).Import tersebut bukan sahaja melibatkan minyak mentah, malah merangkumi bahan mentah untuk menghasilkan produk plastik, barang kemas dan makanan seperti kurma serta pistachio.Walaupun setiap produk diimport dalam kuantiti dan peratusan berbeza, gangguan terhadap laluan perdagangan itu mampu memberi kesan besar kepada rantaian bekalan negara hingga menjejaskan kehidupan harian rakyat.Malah, nasi lemak kegemaran rakyat Malaysia juga tidak terkecuali.Penyelidik dan penganalisis dasar dari Seafic, Dr Mikhail Rosli berkata, kertas pembungkus nasi lemak lazimnya disalut dengan lapisan polietilena bagi mengelakkan minyak meresap keluar."Salah satu kemungkinan ialah nasi lemak kita tidak lagi dibungkus menggunakan kertas seperti itu kerana bahan mentah untuk menghasilkan salutan plastik tersebut diimport Malaysia melalui Selat Hormuz," katanya.Menurutnya, peniaga mungkin perlu beralih kepada jenis pembungkusan lain seperti daun pisang sekiranya kekurangan bekalan berterusan.Ujarnya, situasi itu hanyalah satu contoh kemungkinan kesan bekalan global terhadap Malaysia, sekali gus menekankan keperluan meningkatkan kesedaran mengenai impaknya dalam kalangan pembuat dasar, pemain industri dan setiap rakyat."Jika selat itu terus ditutup untuk tempoh enam bulan hingga setahun lagi, perubahan paling ketara akan dirasai keluarga biasa di Malaysia ialah mereka perlu membayar lebih mahal untuk makanan apabila makan di luar."Ini disebabkan gangguan terhadap bekalan gas memasak, satu bahan yang diimport Malaysia melalui selat tersebut."Gerai penjaja, kedai mamak dan restoran kecil yang menggunakan tong gas memasak komersial mungkin mula naikkan harga," katanya.Tambah beliau, premis berkenaan tiada perlindungan subsidi seperti gas memasak bersubsidi yang digunakan isi rumah.Katanya, apabila harga LPG (gas petroleum cecair) global melonjak, kos itu terus dipindahkan kepada harga makanan apabila orang ramai makan di luar."Pengguna yang menggunakan gas memasak di rumah pula lebih terlindung kerana mereka menggunakan tong gas domestik bersubsidi."Pengguna biasa di Malaysia juga mungkin menyedari kenaikan harga makanan segar di kedai runcit atau pasar raya sekiranya pemain industri gagal menangani kesan penutupan Selat Hormuz."Ayam ialah contoh paling jelas kerana makanan ternakan menyumbang kira-kira 70 peratus daripada kos pengeluaran dan harga makanan ternakan bergerak seiring pasaran global bijirin serta baja, kedua-duanya meningkat akibat tekanan di Hormuz," katanya.Menurut Mikhail, sayur-sayuran turut terkesan melalui peningkatan kos baja.Ujar beliau, penggunaan plastik untuk pembungkusan barangan runcit dan pelbagai produk plastik lain juga akan terjejas."Resin PET (sejenis plastik yang digunakan untuk pembungkusan makanan) meningkat dua kali ganda daripada RM4,000 kepada RM8,000 satu tan dalam bulan pertama gangguan, dengan pengeluar plastik melaporkan kenaikan kos antara 15 peratus hingga 40 peratus," katanya.Tanda jelas kesan kekurangan bekalan plastik ialah langkah Farm Fresh baru-baru ini menukar pembungkusan susu daripada botol plastik kepada kotak karton jenis gable-top pada awal April dan pertukaran seumpama itu dijangka terus berlaku pada masa depan.Ujar Mikhail, penggantian bahan seperti itu merupakan petanda awal perubahan lebih besar dan bukannya situasi sementara."Pembungkusan plastik untuk cecair boleh digantikan dengan kotak karton. Bagi minuman dan kosmetik, bekas plastik boleh ditukar kepada bekas aluminium."Bagi makanan bungkus yang guna plastik, budaya ‘tapau’ rakyat Malaysia tidak akan berubah tetapi bahan pembungkus makanan akan berubah," jelasnya.Beliau berkata, dijangka lebih banyak pembungkusan dibuat daripada bagas (serat yang tertinggal selepas tebu diperah) dan bekas kertas kraf di gerai penjaja.Menurutnya, lebih banyak kerajang aluminium mungkin digunakan restoran."Contoh paling hampir ialah bagaimana kita beralih daripada straw plastik kepada straw kertas."Tetapi kali ini perubahan akan berlaku dengan cepat. Perniagaan perlu menjangka dan membuat persediaan," katanya.Mengenai tindakan yang boleh diambil perniagaan dan pengilang, Mikhail mengesyorkan pemain industri segera menjalankan audit inventori serta mengenal pasti pembekal alternatif yang layak."Proses kelayakan mengambil masa beberapa minggu jika dimulakan awal, dan berbulan-bulan jika ditangguhkan."Jadi, syarikat yang bertindak sekarang ialah syarikat yang akan memiliki produk stabil dalam tempoh enam bulan akan datang," katanya.Selain itu, Mikhail menggesa syarikat mengubah formulasi bahan di mana yang boleh.Ujarnya, mereka juga perlu mengamalkan peraturan minimum dua pembekal daripada lokasi geografi berbeza bagi setiap input kritikal.Menurutnya, walaupun Selat Hormuz dibuka semula, kesan gangguan rantaian bekalan masih akan dirasai untuk suatu tempoh dan proses pemulihan memerlukan masa sebelum keadaan kembali normal.

Go to News Site