Sinar Harian
KEJUTAN tenaga yang sedang melanda Malaysia ketika ini berbeza daripada krisis sebelum ini kerana ia bukan sahaja menjejaskan hasil minyak, malah turut memberi kesan kepada bekalan penting seperti baja dan plastik. Kesan rantaian susulan sekatan di Selat Hormuz kini mula dirasai dalam sektor pembungkusan, pertanian dan kos makanan, sekali gus mendedahkan kelemahan yang tidak mampu ditangani melalui subsidi semata-mata.Bagi memahami tekanan ini dengan lebih mendalam, penyelidik dan penganalisis dasar di South-East Asian Futures Initiative Centre (SEAFIC), Dr Mikhail Rosli, menjelaskan bagaimana peranan Malaysia sebagai hab penapisan minyak, risiko tersembunyi dalam rantaian bekalan serta pertimbangan fiskal mempengaruhi daya tahan negara. Pandangannya menjelaskan mengapa isi rumah dan perniagaan turut merasai tempias kejutan secara tidak langsung, selain mengapa pilihan dasar lebih penting berbanding penyelesaian jangka pendek.Bagaimana kejutan tenaga kali ini berbeza daripada krisis yang pernah dihadapi Malaysia sebelum ini dan mengapa Petronas tidak lagi mampu meredakan kesannya seperti pada tahun 1979?DR MIKHAIL: Berbeza dengan krisis pada tahun 1979, krisis yang sedang kita hadapi sekarang bukan sekadar krisis minyak, tetapi juga krisis bekalan. Pada tahun 1979, Petronas masih mampu membantu meredakan kesan kejutan yang dihadapi negara ketika itu.Namun, masalah sebenar yang sedang kita hadapi ialah banyak input industri dalam ekonomi negara bergantung kepada bekalan dari rantau Teluk. Antaranya termasuk nafta untuk penghasilan plastik serta urea bagi baja dan keperluan lain. Secara mudahnya, Petronas mungkin mampu membantu mengurangkan tekanan dari sudut hasil pendapatan, tetapi tidak mampu menyelesaikan masalah gangguan bekalan yang berlaku ketika ini.Ketika ini, isi rumah akan merasai kesan gangguan bekalan tersebut. Mereka mungkin mula melihat perubahan pada pembungkusan makanan selain peningkatan harga bagi beberapa barangan tertentu. Namun begitu, sektor perniagaan dijangka menerima kesan yang lebih besar. Bahan api untuk kegunaan industri dan urea bagi baja terus mengikut harga pasaran, sekali gus menyebabkan mereka menanggung impak krisis yang lebih berat.Adakah kita sedang merasai kesannya ketika ini?DR MIKHAIL: Ya, sedikit demi sedikit. Ketika ini, kita sudah mula melihat beberapa perubahan berlaku. Sebagai contoh, pengeluar produk tenusu Farm Fresh telah menukar pembungkusan produk mereka daripada botol kepada kotak minuman. Selain itu, di peringkat perniagaan seperti pemilik ladang dan mungkin juga petani sayur-sayuran, harga baja kini dilihat semakin meningkat.Keadaan ini berkemungkinan akan memberi kesan kepada pengguna dalam tempoh enam bulan akan datang apabila tamatnya kitaran penanaman pertama, sekali gus menyebabkan harga sayur-sayuran dan makanan ternakan seperti makanan ayam meningkat. Dalam anggaran saya, kesan paling awal boleh dirasai dalam tempoh enam bulan hingga 12 bulan.Perubahan utama yang bakal berlaku ialah peningkatan harga. Ini kerana banyak input industri tersebut merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan negara, dan kejutan yang berlaku akan merebak ke seluruh ekonomi. Dalam tempoh sekitar enam bulan akan datang, pengguna dijangka mula melihat kenaikan harga bagi barangan harian.Apa yang akan berlaku sekiranya tercetus perang berskala penuh? Apakah langkah utama yang perlu diambil kerajaan bagi membantu rakyat bersedia?DR MIKHAIL: Sekiranya perang berskala penuh tercetus, kategori kejutan yang dihadapi juga akan berubah. Harga minyak dijangka meningkat ke paras yang lebih tinggi untuk tempoh yang lebih panjang. Isi rumah dan perniagaan pula mungkin mula membentuk jangkaan baharu terhadap harga barangan dan kos kehidupan pada masa hadapan. Pada masa sama, kedudukan fiskal atau kewangan kerajaan juga akan menjadi lebih mencabar dan tidak menentu.Sebaliknya, adakah keadaan akan pulih serta-merta sekiranya perjanjian damai dicapai?DR MIKHAIL: Walaupun perjanjian damai dicapai dalam masa terdekat, kerosakan terhadap infrastruktur sebenarnya sudah pun berlaku. Kita boleh mengambil Qatar sebagai contoh. Peluru berpandu Iran telah mengenai kompleks LNG Ras Laffan, iaitu kompleks gas asli cecair (LNG) terbesar di dunia. Qatar Energy memaklumkan kerja pembaikan dijangka mengambil masa antara satu hingga dua tahun. Justeru, tiada perjanjian damai yang mampu memendekkan tempoh pembaikan tersebut. Gangguan bekalan akan berterusan sehingga tahun hadapan. Krisis ini tidak akan berakhir dalam tempoh yang singkat.Subsidi kerajaan meningkat sebanyak RM15 bilion. Apakah alternatif yang boleh melindungi rakyat tanpa membebankan kewangan negara?DR MIKHAIL: Kerajaan masih mampu menampung perbelanjaan tersebut. Namun, persoalan yang lebih besar ialah setiap ringgit yang dibelanjakan untuk subsidi merupakan ringgit yang tidak dapat digunakan untuk sektor lain seperti penjagaan kesihatan atau pendidikan. Saya fikir inilah perbincangan lebih besar yang perlu mula dibangkitkan oleh rakyat Malaysia.Sebagai contoh, cadangan terbaharu supaya isi rumah T20 tidak menerima bantuan BUDI95 adalah satu pilihan yang dibuat secara sedar dan pada hakikatnya ia juga merupakan keputusan politik. Saya berpandangan bahawa masyarakat Malaysia perlu mula berbincang secara terbuka mengenai perkara ini. Malangnya, perbincangan itu masih belum benar-benar berlaku.Sektor penapisan minyak Malaysia merupakan pintu utama kemasukan minyak dari rantau Teluk, manakala industri seperti penternakan akan mula terjejas apabila keseluruhan rantaian bekalan diteliti. Apakah yang dapat disimpulkan daripada perbezaan ini, dan bagaimana dasar sepatutnya menangani isu tersebut?DR MIKHAIL: Salah satu perkara yang didedahkan kepada kita ialah walaupun kita mampu mengawal pintu utama, ancaman mungkin masih boleh masuk melalui "tingkap". Kerentanan boleh muncul di tempat yang langsung tidak kita jangkakan.Contoh yang baik untuk menggambarkan perkara ini ialah industri ayam. Urea digunakan dalam penghasilan baja, baja pula digunakan untuk menghasilkan makanan ternakan dan makanan ternakan akhirnya memberi kesan kepada bekalan ayam.Bilakah kita sebenarnya akan mula merasai kesannya?DR MIKHAIL: Sukar memberikan tempoh yang tepat pada ketika ini. Sebab utama ialah apabila baja digunakan dalam kitaran penanaman, kita tidak tahu berapa lama masa yang diperlukan sebelum kesannya sampai ke peringkat pasaran dan rak jualan.Saya berpendapat ia mengambil masa kerana kesan tersebut bermula di peringkat huluan yang sangat awal, contohnya pada tahap baja. Persoalannya, berapa lama masa diperlukan untuk sayur-sayuran tumbuh?. Tempoh itulah juga yang menentukan bila kesan kenaikan harga baja akan mula dirasai.Sebagai contoh, jika kubis mengambil masa empat bulan untuk matang, maka sekitar empat bulan juga diperlukan sebelum harga kubis dipengaruhi oleh kos baja ketika proses penanaman dilakukan. Kemudian ia melalui proses pengeluaran dan pengedaran. Sebab itu kebanyakan pihak menganggarkan kesannya akan mula dirasai sekitar enam bulan.Rakyat biasa mungkin masih dilindungi melalui subsidi bahan api, namun kos tetap meningkat secara tidak langsung menerusi makanan dan pembungkusan. Apakah yang boleh dilakukan isi rumah dan perniagaan kecil untuk menghadapi kejutan tidak langsung ini?DR MIKHAIL: Terdapat kecenderungan untuk terlalu meletakkan tanggungjawab kepada isi rumah tentang apa yang mereka boleh lakukan. Dan saya ingin berlaku jujur mengenai perkara itu. Ini bukan masalah yang mampu diselesaikan oleh isi rumah semata-mata.Namun begitu, isi rumah boleh mempertimbangkan pengambilan ikan atau protein lain jika ayam dan daging mahal. Bagi perniagaan pula, mereka perlu mengkaji semula rantaian bekalan masing- masing.Justeru, saya melihat sebahagian besar tanggungjawab sebenarnya terletak pada dasar kerajaan berbanding isi rumah dan perniagaan.Apakah langkah yang boleh dilaksanakan secara berkesan dalam jangka sederhana dan panjang bagi menghadapi masalah ini?DR MIKHAIL: Saya fikir langkah struktur paling segera yang perlu difikirkan ialah pendekatan triage mengenal pasti input kritikal dan menentukan di mana kekurangan bekalan input tersebut akan memberi kesan paling besar kepada isi rumah.Selepas itu, kerajaan perlu membantu perniagaan mencari pengganti bagi bekalan atau bahan yang diperlukan. Kita juga boleh mula memikirkan saluran perolehan kecemasan. Ini termasuk menggunakan saluran perolehan kerajaan serta diplomasi perdagangan untuk mendapatkan bekalan yang diperlukan oleh syarikat dan industri terlibat.Ada pihak mencadangkan perubahan tingkah laku pengguna seperti membeli produk tempatan dan mengitar semula. Sejauh mana tindakan ini berkesan dan mampu membantu?DR MIKHAIL: Saya fikir membeli produk tempatan memang boleh membantu. Namun, saya ingin meletakkan sedikit penegasan bahawa kesannya lebih kepada membantu di peringkat kecil dan bukannya sebagai penyelesaian strategik utama terhadap krisis ini.Membeli produk tempatan boleh berkesan bagi rantaian bekalan yang sepenuhnya bersifat domestik. Sebagai contoh, kita boleh bayangkan ayam kampung yang menggunakan makanan ternakan dihasilkan dalam negara. Begitu juga dengan ikan tempatan yang diternak atau diperoleh sepenuhnya dalam negara. Keseluruhan rantaian bekalannya bergantung kepada sumber domestik.Ini merupakan contoh yang baik tentang bagaimana membeli produk tempatan boleh membantu. Namun begitu, saya masih melihat langkah tersebut lebih kepada sokongan tambahan dan bukannya penyelesaian strategik utama bagi situasi yang sedang kita hadapi ketika ini.Adakah perkara ini sesuatu yang perlu diberi perhatian?DR MIKHAIL: Ya. Saya fikir dalam jangka panjang, kita perlu mula memikirkan tentang usaha mendomestikkan rantaian bekalan seperti ini. Cabaran utama ketika ini ialah banyak bahan makanan ternakan seperti soya dan jagung tidak tumbuh secara semula jadi dalam kuantiti besar di Malaysia.Bagaimana pembuat dasar boleh berkomunikasi dengan lebih jelas membezakan antara kejutan luaran sementara dan inflasi jangka panjang supaya rakyat memahami risiko tanpa mencetuskan panik?DR MIKHAIL: Membantu rakyat membentuk jangkaan yang realistik terhadap keadaan isi rumah dan perniagaan mereka adalah sangat penting. Saya berpandangan bahawa Bank Negara dan kerajaan perlu memainkan peranan lebih besar dalam menjelaskan perkara yang bersifat sementara dan perkara yang bersifat struktur jangka panjang.Mengapa penting untuk rakyat benar-benar sedar dan memahami risiko yang sedang berlaku?DR MIKHAIL: Terdapat tiga sebab utama. Pertama, pembelian panik dan kegiatan menyimpan stok secara berlebihan hanya akan memberi tekanan tambahan kepada rantaian bekalan.Kedua, pembaharuan yang diperlukan ketika ini untuk menjadikan negara lebih bersedia menghadapi krisis pada masa depan sebenarnya mempunyai kos politik yang tinggi.Ketiga, dan saya fikir ini yang paling penting, ialah soal maruah rakyat itu sendiri. Rakyat perlu benar-benar memahami keadaan yang sedang mereka hadapi.Apakah pembaharuan struktur yang paling mendesak untuk Malaysia?DR MIKHAIL: Saya fikir perkara paling penting ialah mengenal pasti input kritikal melalui pemetaan rantaian bekalan. Contoh yang baik ialah bagaimana dalam krisis semasa ini, kita masih menggunakan banyak pemetaan rantaian bekalan yang pernah digunakan ketika pandemik Covid-19. Pengalaman tersebut juga akan membantu negara menghadapi krisis pada masa hadapan.Dalam jangka panjang pula, kita perlu memikirkan cara untuk syarikat mempelbagaikan pembekal mereka. Perlu ada garis panduan atau mekanisme tertentu bagi menentukan tahap pergantungan yang dianggap membimbangkan dan tahap yang masih boleh diterima.Dalam jangka panjang juga, kita perlu mengadakan perbincangan lebih besar mengenai tenaga hijau serta usaha membawa pulang sebahagian rantaian bekalan ini ke Malaysia.Sejauh mana biofuel berasaskan minyak sawit boleh menjadi alternatif ?DR MIKHAIL: Biodiesel hanya mampu menggantikan sebahagian penggunaan bahan api sahaja. Ia tidak mampu menggantikan bahan api penerbangan dan juga tidak dapat menggantikan urea untuk baja. Oleh itu, skala penggunaannya sebagai tindak balas kepada krisis semasa mungkin agak terhad.Kedua ialah risiko kebergantungan yang terlalu tertumpu kepada satu komoditi. Minyak sawit sudah pun menjadi komoditi eksport penting negara dan memainkan peranan besar terhadap pendapatan luar bandar. Saya fikir itu mungkin bukan langkah paling bijak untuk jangka panjang, walaupun ia masih boleh membantu pada tahap tertentu.Antara pilihan paling segera ialah tenaga hidroelektrik. Namun kita juga tahu bahawa ia memerlukan kos modal yang sangat tinggi selain mempunyai risiko dan cabaran terhadap alam sekitar.Tenaga solar pula semakin murah dari segi kos per unit, tetapi persoalan sama ada ia boleh dilaksanakan secara besar-besaran masih sedang dikaji dan diperhalusi.Saya fikir pilihan yang paling banyak diterokai ketika ini ialah reaktor nuklear, sekurang-kurangnya reaktor modular kecil.Adakah terdapat peluang untuk Malaysia mengurangkan tekanan semasa atau menjadi asas pertumbuhan pada masa hadapan?DR MIKHAIL: Saya fikir tindak balas utama dunia terhadap krisis ini ialah kepelbagaian dan pembinaan sistem sokongan tambahan atau redundancy. Kita boleh berharap supaya keperluan terhadap sistem sokongan tambahan itu akan turut melibatkan Malaysia.Malaysia mempunyai kapasiti penapisan minyak yang agak kukuh. Sebagai contoh, Perdana Menteri Australia sendiri datang ke Malaysia berkaitan perkara tersebut.Jadi, keadaan ini mungkin menjadi satu kelebihan atau pemangkin positif kepada Malaysia pada masa hadapan apabila krisis ini mula reda dan negara-negara lain mula memikirkan lokasi alternatif untuk mendapatkan kapasiti penapisan minyak mereka, termasuk melalui Malaysia.Apakah lagi cadangan dasar daripada SEAFIC sama ada untuk jangka pendek, sederhana atau panjang?DR MIKHAIL: Malaysia sebenarnya sudah mempunyai keupayaan pemantauan tertentu. Jadi, cadangan pertama ialah mewujudkan playbook atau pelan tindakan bagi input kritikal. Kita perlu mula memikirkan, apabila krisis seterusnya berlaku, apakah perkara yang paling penting, sektor mana yang akan menerima kerosakan paling besar, dan pihak mana yang perlu menerima bantuan terlebih dahulu.Cadangan kedua ialah membentuk saluran perolehan kecemasan secara rasmi serta mempertimbangkan penggunaan diplomasi perdagangan bagi membantu syarikat mempelbagaikan sumber bekalan mereka.Ketiga, menetapkan keutamaan sebelum berlakunya kekurangan bekalan. Kita perlu memahami dan memetakan situasi lebih awal.
Go to News Site