Sinar Harian
IPOH – Beberapa pemilik kedai emas sekitar bandar raya mengakui gembira dengan penurunan harga emas.Yang Dipertua Persatuan Kedai-Kedai Emas Negeri Perak, Datuk Amaluddin Mohammed Ismail berkata, situasi itu dijangka mampu merancakkan semula jualan dan menarik lebih ramai pelanggan membeli emas.Menurutnya, harga emas sebelum ini mencecah RM720 segram kini turun kepada RM540 memberi kelegaan bukan sahaja kepada pengguna tetapi peniaga."Memang banyak juga penurunannya. Apabila harga turun, orang ramai mula kembali membeli emas dan perniagaan menjadi sedikit lebih baik berbanding sebelum ini."Sebagai peniaga dan persatuan, kami mengalu-alukan harga emas lebih rendah kerana membantu meningkatkan jualan. Apabila harga terlalu tinggi, ramai pengguna kurang berminat membeli," katanya kepada Sinar Ahad.Amaluddin berkata, harga emas menunjukkan penurunan ketara dalam tempoh satu hingga dua minggu kebelakangan ini.Katanya, walaupun berlaku penurunan tetapi trend jangka panjang menunjukkan harga emas terus meningkat setiap tahun."Kalau dibandingkan 30 tahun lalu, harga emas tidak pernah benar-benar turun dalam jangka panjang. Secara keseluruhannya ia terus meningkat."Sebab itu saya berpandangan, sesiapa mempunyai kemampuan kewangan boleh mempertimbangkan untuk membeli dan menyimpan emas sebagai aset," ujarnya.Dalam pada itu, Amaluddin yang juga Pengarah Urusan DS Jewellers menggesa orang ramai mengambil peluang membeli emas ketika harga masih berada di paras lebih rendah.Mengulas mengenai industri emas, beliau berkata, terdapat lebih 100 kedai emas beroperasi di Perak, namun tidak semuanya berdaftar sebagai ahli Persatuan Kedai-Kedai Emas Negeri Perak.Sementara itu, tinjauan Sinar Ahad di Jalan Sultan Yusoff di sini mendapati, beberapa kedai emas di kawasan berhampiran dikunjungi orang ramai untuk membeli serta melihat koleksi barang kemas dijual.Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan, harga emas merosot ke paras terendah dalam tempoh dua bulan apabila tindakan ketenteraan baharu Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran mengukuhkan nilai dolar AS serta mendorong kenaikan harga minyak, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap tekanan inflasi dan prospek kadar faedah lebih tinggi.
Go to News Site