Sinar Harian
KOTA BHARU – Penurunan harga emas 916 mendorong orang ramai termasuk perantau mengambil peluang membeli barang kemas itu sebelum pulang ke ibu kota selepas cuti Aidiladha.Tinjauan Sinar Ahad di beberapa kedai emas sekitar bandar ini mendapati, beberapa premis menerima kehadiran pelanggan luar biasa berbanding biasa susulan harga emas lebih rendah.Perantau dari Selangor, Wan Nur Izzati Wan Ismail, 27, mengakui tidak melepaskan peluang membeli rantai emas sebagai hadiah selepas mendapati harga emas semakin menurun."Memang sudah lama saya berniat menghadiahkan emas kepada adik bongsu sempena hari lahirnya pada Mac lalu termasuk kejayaannya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kewangan di Universiti Teknologi Mara (UiTM)."Sebelum ini, saya menunggu harga emas turun kerana nilainya sering berubah-ubah. Kebetulan kali ini saya pulang beraya dan harga emas pula menurun, jadi saya terus mengambil peluang membeli rantai bersama loket," katanya ketika ditemui di kedai emas berhampiran Pasar Siti Khadijah di sini pada Sabtu.Wan Nur Izzati berkata, emas sememangnya aset bernilai dan boleh disimpan mengikut kemampuan masing-masing."Gelang seberat 108 gram dibeli kira-kira 20 tahun lalu dengan harga sekitar RM4,000 kini nilainya mencecah RM60,000."Sebab itu kami memilih emas sebagai simpanan," katanya.Sementara itu, seorang lagi perantau, Meria Marsheema Azman, 33, berkata, emas masih menjadi pilihan sebagai instrumen simpanan walaupun keadaan ekonomi semasa tidak menentu.Akauntan berasal dari Ketereh itu berkata, emas mempunyai nilai lebih stabil dalam jangka panjang selain mudah dicairkan sekiranya diperlukan."Walaupun ekonomi tidak menentu, emas tetap mempunyai nilai. Sebab itu saya memilih menyimpan sebahagian wang dalam bentuk emas."Jika ada lebihan wang, saya akan membeli emas sedikit demi sedikit kerana ia boleh dijadikan simpanan untuk masa depan," katanya.Sementara itu, pembantu jualan kedai emas, Nurul Atifah Ibrahim, 33, berkata, jumlah pelanggan meningkat sejak beberapa hari sebelum Aidiladha susulan penurunan harga emas.Menurutnya, kebanyakan pelanggan terdiri daripada perantau pulang ke kampung dan mengambil kesempatan membeli barang kemas sebelum kembali ke tempat kerja masing-masing."Memang kami melihat peningkatan pelanggan berbanding dua bulan lalu ketika harga emas berada pada paras tinggi."Ada membeli untuk dipakai, dijadikan hadiah kepada ahli keluarga dan tidak kurang juga yang membeli sebagai simpanan atau pelaburan," katanya.Tambahnya, trend pembelian emas sebagai aset jangka panjang masih kekal kukuh kerana ramai pelanggan melihat logam berharga itu sebagai instrumen simpanan selamat.
Go to News Site