Collector
Gagal bayar sewa pejabat: 'Tuduhan itu adalah fitnah' - Tuan Ibrahim | Collector
Gagal bayar sewa pejabat: 'Tuduhan itu adalah fitnah' - Tuan Ibrahim
Sinar Harian

Gagal bayar sewa pejabat: 'Tuduhan itu adalah fitnah' - Tuan Ibrahim

KOTA BHARU – Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan dakwaan kononnya beliau gagal menjelaskan bayaran sewa Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kubang Kerian (PKPKK) di Pasir Tumboh di sini, sebaliknya menegaskan semua bayaran sudah dibuat mengikut tempoh yang ditetapkan.Beliau berkata, tuduhan yang tular sejak beberapa hari lalu itu adalah fitnah dan tidak berasaskan fakta sebenar.Menurutnya, beliau sebelum ini sudah memberikan penjelasan berhubung isu berkenaan, namun dakwaan tersebut masih terus disebarkan oleh pihak tertentu."Saya tidak berminat untuk menghabiskan masa dan tenaga memanjangkan lagi isu sebegini kerana banyak isu utama melibatkan kepentingan rakyat yang menjadi keutamaan."Namun, saya perlu nyatakan dengan jelas bahawa semua dakwaan dan tuduhan itu adalah fitnah," katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya pada Ahad.Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas itu menjelaskan, pihaknya mempunyai rekod pembayaran sewa bulanan yang dibuat secara konsisten bermula Januari tahun lepas hingga April lalu.Menurut beliau, bayaran sewa bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025 dibuat kepada pemilik premis terdahulu dengan kadar antara RM1,800 hingga RM2,000 sebulan.Katanya, bermula September 2025, perjanjian baharu dimeterai dengan pemilik premis yang baharu dan kadar sewa ditetapkan sebanyak RM2,200 sebulan."Bayaran sewa bagi September 2025 hingga April lepas sudah dijelaskan sepenuhnya mengikut rekod pembayaran yang ada," katanya.Beliau turut menjelaskan bahawa bayaran sewa bagi Mei ini tidak dibuat secara berasingan kerana ditolak daripada lebihan deposit yang dipegang pemilik premis.Menurutnya, langkah itu dibuat atas nasihat peguam susulan arahan pengosongan premis yang didakwa tidak mematuhi syarat perjanjian sewaan."Bayaran sewaan bulan Mei ditolak daripada lebihan deposit yang dipegang seperti yang disarankan oleh peguam disebabkan arahan pengosongan premis oleh tuan punya yang tidak mengikut perjanjian sewa," katanya.Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak yang menyebarkan dakwaan berkenaan menghentikan tuduhan tersebut bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.Tuan Ibrahim turut memaklumkan bahawa beliau telahpun mengarahkan peguamnya mengambil tindakan sewajarnya bagi membersihkan nama baik beliau serta parti."Walaupun ada yang memohon maaf, fitnah yang disebarkan akan terus dibaca dan berlegar."Saya berharap perkara ini dihentikan," katanya.Dalam masa sama, beliau mengingatkan masyarakat agar berhati-hati dalam menyebarkan tuduhan tidak berasas dengan menghayati hadis Rasulullah SAW mengenai golongan muflis di akhirat yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dalam Sahih Muslim.Menurutnya, hadis tersebut menjadi peringatan bahawa perbuatan mencaci, memfitnah dan menzalimi orang lain boleh menyebabkan seseorang kehilangan pahala amalannya di akhirat kelak.

Go to News Site