Collector
PRN Johor: MIPP tanding 4 kerusi, yakin PN mampu saingi BN, PH | Collector
PRN Johor: MIPP tanding 4 kerusi, yakin PN mampu saingi BN, PH
Sinar Harian

PRN Johor: MIPP tanding 4 kerusi, yakin PN mampu saingi BN, PH

ISKANDAR PUTERI – Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) mengesahkan akan bertanding di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.Presidennya yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), S P Punithan berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan bersama parti komponen gabungan berkenaan iaitu Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di peringkat pusat dan juga negeri."Kita telah mengadakan pelbagai sesi perbincangan bersama Pas dan Bersatu sejak sebulan lalu. Setakat ini, MIPP akan bertanding empat kerusi DUN dan perbincangan mengenai kerusi yang sesuai masih berjalan."MIPP yang merupakan parti terakhir menyertai PN. Ini akan menjadi pilihan raya ditandingi MIPP," katanya pada sidang akhbar Mesyuarat Agung MIPP Johor di sini pada Ahad.Menurut beliau, semua 26 bahagian MIPP di Johor telah diarahkan bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya tersebut."Mengenai calon pula, kita sudah bersedia untuk menampilkan golongan muda profesional yang mampu menawan hati pengundi," ujarnya.Dalam pada itu, beliau menjangkakan antara 45 hingga 55 peratus pengundi India di Johor akan memberikan sokongan kepada PN pada PRN akan datang.Katanya, landskap politik negeri kini jauh berbeza berbanding PRN Johor 2022 dan semua parti dijangka berdepan persaingan sengit."PN akan bertanding di semua 56 kerusi DUN Johor dan kita meletakkan sasaran untuk menawan negeri ini."Di Melaka kita akan tanding dua kerusi DUN di Melaka manakala tiga kerusi DUN di Negeri Sembilan dalam PRN negeri terbabit."Keadaan politik sekarang berbeza. Tiada mana-mana parti boleh menganggap kemenangan mudah akan diperoleh," katanya.Pada 22 April 2024, MIPP secara rasmi diterima sebagai anggota penuh PN.

Go to News Site