Collector
Mayat remaja lelaki lemas ditemui 300 meter dari pantai | Collector
Mayat remaja lelaki lemas ditemui 300 meter dari pantai
Sinar Harian

Mayat remaja lelaki lemas ditemui 300 meter dari pantai

SEPANG – Mayat seorang remaja lelaki yang hilang dipercayai lemas ketika mandi di Pantai Bagan Lalang, Tanjong Sepat, ditemukan pasukan penyelamat pada petang Ahad selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan hampir empat jam.Mangsa, Mohd Akhil Zamani Sanusi, 17, ditemukan kira-kira jam 6.50 petang oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.Penguasa Kanan Bomba II Mohamad Issmanto Md Pono berkata, mangsa ditemui menerusi kaedah penyelaman pada jarak kira-kira 300 meter dari pantai dan 10 meter dari lokasi dipercayai mangsa lemas.Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian."Operasi pencarian melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sepang dengan bantuan unit PPDA dari BBP KLIA, BBP Shah Alam dan BBP Pelabuhan Klang."Mayat mangsa berjaya ditemukan pada jam 6.50 petang sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.Beliau berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.18 petang.Katanya, berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai lemas ketika mandi di tepi pantai bersama rakan-rakannya."Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 3.10 petang sebelum operasi mencari dan menyelamat dilancarkan sejurus pasukan bomba tiba di lokasi."Pencarian dijalankan menggunakan bot serta kaedah pencarian permukaan sebelum mangsa ditemukan oleh pasukan PPDA," katanya.Operasi itu melibatkan seramai 15 anggota bomba dan turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Unit Pantas Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Go to News Site