Collector
Petani takut tanam sayur tiada untung | Collector
Petani takut tanam sayur tiada untung
Sinar Harian

Petani takut tanam sayur tiada untung

KONFLIK berpanjangan di Asia Barat yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu terus memberi tekanan kepada golongan petani apabila mereka terpaksa berdepan kenaikan kos penanaman dan pengangkutan, gangguan rantaian bekalan, subsidi kerajaan tidak mencukupi serta perubahan iklim, sekali gus menjejaskan hasil dan harga pertanian.Beberapa petani mengeluh dengan gangguan pengangkutan, kenaikan harga baja, peningkatan kos sewa tanah dan bantuan kerajaan yang tidak memadai menyebabkan rata-ratanya berada dalam dilema.'Hanya menanam apabila harga baik dan tidak berani menanam apabila harga rendah', sehinggakan pengguna akhirnya dijangka menanggung kenaikan harga sayur-sayuran.Presiden Persatuan Pekebun Sayur Cameron Highlands, Chai Kok Lim berkata, ketegangan di Asia Barat dan Selat Hormuz mengganggu laluan perkapalan apabila terdapat banyak kapal tidak dapat belayar seperti biasa atau terpaksa mengubah laluan.Menurut beliau, memandangkan kebanyakan kapal kargo yang menghantar barangan ke wilayah Timur Tengah biasanya singgah di Singapura dan Pelabuhan Klang untuk memuatkan bekalan makanan, gangguan sedemikian menyebabkan eksport sayur seperti tomato dan lada benggala merosot ketara."Permintaan terhadap tomato dan lada benggala di Timur Tengah sangat tinggi."Tetapi, apabila jumlah penghantaran kapal berkurangan, jualan tomato dan lada benggala Cameron Highlands turut terjejas teruk sehingga berlaku lambakan, kejatuhan harga serta pembuangan hasil lebihan," katanya.Beliau turut memaklumkan bahawa harga sayur berdaun mula menurun sejak Khamis dan Jumaat lepas.Justeru sebagai penyelesaian jangka panjang, Kok Lim berpandangan, kerajaan perlu mengawal selia kemasukan sayur import dengan lebih baik.Jelasnya, apabila bekalan sayur tempatan mencukupi, import perlu dikurangkan supaya petani dapat merancang aktiviti penanaman dengan lebih teratur.Tambah Kok Lim lagi, pasaran berubah mengikut musim seperti ketika musim durian apabila permintaan terhadap sayur-sayuran menurun."Isu besar lain adalah baja. Kira-kira 70 peratus baja kimia yang digunakan petani diimport dari wilayah Timur Tengah."Jika perang berterusan, kekurangan bekalan mungkin berlaku. Ketika ini harga baja kimia sudah meningkat antara 15 hingga 30 peratus," ujar beliau.Kok Lim memaklumkan, bahan berkaitan pertanian lain termasuk kanvas pertanian dan plastik pembungkusan sayur juga meningkat antara 15 hingga 30 peratus.Atas dasar itu, beliau menggesa kerajaan memenuhi tiga tuntutan utama iaitu mengurangkan kadar sewaan tanah pertanian, menyediakan subsidi baja dan mengawal kemasukan sayur import.Pada hemat beliau, pesawah ketika ini menikmati subsidi, manakala petani sayur hanya menerima RM200 bagi setiap tan metrik dengan had maksimum RM1,000 yang disifatkannya sekadar 'setitik air di lautan' dan tidak mencukupi untuk menyelesaikan masalah.Beliau menjelaskan bahawa sejak tanah pertanian di Cameron Highlands ditukar daripada tanah Lesen Pendudukan Sementara (TOL) kepada tanah milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang (PSK), petani tidak lagi memohon permit TOL secara terus daripada pejabat tanah.Sebaliknya, menurut Kok Lim, tanah disewakan melalui orang tengah iaitu syarikat berkaitan kerajaan negeri Pahang."Kini, petani tidak lagi boleh memohon geran tanah dan hanya mengusahakan tanaman menerusi sistem pajakan 3+2 tahun menjadikan tempoh keseluruhan lima tahun, selain perlu menanggung sendiri kos ukur tanah."Kalau dahulu kadar sewaan hanya RM2,000 sehektar setahun. Sekarang RM4,500 seekar setahun, bermakna kos sewa meningkat beberapa kali ganda," ujarnya.Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pertanian Cameron Highlands, Cheng Nan Hong berkata, kenaikan diesel, petrol dan tarif elektrik menggandakan beban petani yang banyak bergantung kepada trak pikap, enjin diesel, bahan api dan generator untuk aktiviti pertanian serta pengangkutan.Katanya, kira-kira 90 peratus baja yang digunakan petani adalah import termasuk baja AB dan CM bagi pertanian hidroponik.Sekitar 80 peratus petani menggunakan baja kimia manakala selebihnya baja tahi ayam tempatan.Beliau memaklumkan, dengan peningkatan kos operasi, petani hanya mampu meneruskan penanaman sekiranya harga sayur berada pada paras yang baik."Jika tidak, kami tidak berani menanam kerana bimbang menanggung kerugian, lebih-lebih lagi apabila gaji minimum pekerja asing kini mencecah RM1,700."Sayur hidroponik paling terkesan terutama salad karang hijau apabila ramai petani tak nak meneruskan penanaman."Antara Februari hingga awal Mac, cuaca di Cameron Highlands menjadi lebih panas dan memberi kesan besar kepada tanaman hidroponik. Pertanian hidroponik juga sangat bergantung kepada diesel dan elektrik. Jadi apabila kos melonjak, ramai petani menghentikan penanaman sayur hidroponik," jelasnya.Nan Hong menambah, akibat kekurangan bekalan, harga salad karang hijau di pasar raya meningkat sehingga 100 peratus dengan harga ladang mencecah RM4 hingga RM5 sekilogram berbanding RM2 sebelum ini."Harga runcit kini antara RM7 hingga RM8 sekilogram. Tetapi, sayur tanaman tanah seperti sawi dan pak choy tidak mengalami kenaikan harga."Petani sebelum ini terpaksa membuang tomato sejak dua hingga tiga minggu lalu selepas harga ladang menjunam kepada antara 30 sen hingga 50 sen sekilogram."Namun harga kini kembali pulih melebihi RM1 sekilogram. Harga kubis juga kembali meningkat," katanya lagi.

Go to News Site