Sinar Harian
SHAH ALAM - Kebanyakan rakyat yang tinggal di bandar semakin tersepit dengan bebanan kos sara hidup susulan krisis bekalan tenaga global ketika ini.Tinjauan Sinar Harian mendapati, rata-rata rakyat mengakui penyelarasan kuota inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan memberi kesan ketara bukan sahaja dari segi pergerakan harian tetapi turut mengakibatkan berlaku kenaikan harga barangan keperluan.Seorang peniaga, Shukran Md Yusoff, 55, berkata, perbelanjaan keluarganya sejak kebelakangan ini menunjukkan peningkatan selepas kerajaan menyelaras kuota bahan api berkenaan."Apabila kerajaan menyelaras BUDI95 kepada 200 liter menyebabkan pergerakan kami sekeluarga agak terbatas, tambah-tambah lagi kalau terpaksa melakukan perjalanan jauh."Jadi, kita harap krisis tenaga global ini akan segera reda kerana kita tidak boleh jangka apa lagi yang akan berlaku selepas ini kalau ia masih berterusan," katanya kepada Sinar Harian.Bagi seorang pelajar, Laraine Juanitha Ambrose, 22, kehidupan di bandar sememangnya diketahui memerlukan kos yang tinggi dan kini beban semakin bertambah akibat krisis tersebut.Katanya, meskipun sebahagian besar rakyat Malaysia masih dibekalkan dengan subsidi petrol, namun kos harian ditanggung terutama bagi mereka yang berulang-alik dalam jarak jauh semakin merasai kesan kenaikan berkenaan."Sejujurnya memang ada rasa sedikit kenaikan harga untuk beberapa barang dapur apabila pergi ke pasar raya sekarang. Saya ambil pendekatan lebih berjimat sekarang, beli ikut keperluan dan cari promosi supaya perbelanjaan bulanan tidak terlalu terkesan."Apa yang saya boleh katakan, kos hidup secara keseluruhan ketika ini memang tinggi di bandar. Sekarang ini untuk berbelanja pun berfikir panjang, apatah lagi bila fikir tentang krisis tenaga global yang belum berkesudahan ini," katanya.Sementara itu, seorang eksekutif perkapalan, Nurul Syafina Sabri, 27, mengakui turut berdepan dilema sama kesan daripada krisis tenaga global berkenaan.Menurutnya, peningkatan kos sara hidup mula dirasai sejak sebulan lalu memberi tekanan besar kepada rakyat yang tinggal di bandar."Harga barang sekarang ini semakin tidak stabil. Kos sara hidup pula naik lebih cepat daripada gaji bulanan yang diperoleh. Jadi, susah bagi kami hendak merancang masa depan, ditambah pula dengan ketidaktentuan bekalan tenaga global," katanya.Bagi seorang pengurus syarikat, Danny Lee, 47, berkata, harga bahan api yang semakin melonjak di pasaran ketika ini mengakibatkan kesan berantai khususnya membabitkan barangan keperluan harian."Walaupun kuota subsidi petrol bersasar di bawah program BUDI95 dilaksanakan, tetapi saya masih terpaksa menanggung kos belanja bahan api yang tinggi ikut harga pasaran apabila kuota tersebut habis digunakan ekoran kerap memandu antara negeri-negeri berlainan."Saya tidak dapat gambarkan jika kuota itu dikurangkan dan krisis tenaga global ini terus berlanjutan kerana sekarang ini boleh dikatakan kebanyakan kedai makan mula menaikkan harga makanan masing-masing," katanya.Dalam pada itu, seorang ejen hartanah, Rita Mohammad, 43, mengakui semakin tersepit dengan peningkatan kos sara hidup khususnya melibatkan barangan keperluan harian."Apa yang saya boleh katakan, kehidupan rakyat ketika ini semakin tidak stabil, bukan sahaja dari segi harga minyak tetapi harga barang-barang lain juga digunakan harian," katanya.
Go to News Site