Collector
Keyakinan asas kestabilan sesebuah ekonomi | Collector
Keyakinan asas kestabilan sesebuah ekonomi
Sinar Harian

Keyakinan asas kestabilan sesebuah ekonomi

PASARAN mata wang mutakhir ini agak meruap, dengan mata wang rupiah Indonesia (IDR) berbanding dolar AS menjadi fokus utama peserta pasaran. Mata wang IDR ditutup pada paras 17,881 rupiah bagi setiap unit dolar AS pada Jumaat lalu.Prestasi ini mewakili penyusutan sebanyak 6.7 peratus dari awal tahun hingga 29 Mei lalu, sekali gus menjadikan mata wang tersebut yang terendah di Asia.Malah, angka tersebut melepasi paras terendah ketika negara itu menghadapi Krisis Kewangan Asia pada 1997 dan 1998, apabila paras terendah yang dicapai ketika itu ialah 16,650 rupiah bagi setiap unit dolar AS pada 17 Jun 1998.Pada 20 Mei lalu, Bank Indonesia (BI), telah mengejutkan peserta pasaran pertukaran asing apabila mengumumkan keputusan menaikkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas kepada 5.25 peratus.Sebelum itu, pada 13 Mei 2026, BI telah menaikkan kadar faedah bagi instrumen pasaran wang SRBI kepada 6.21 peratus, 6.31 peratus dan 6.45 peratus bagi tempoh matang enam, sembilan dan 12 bulan.Keputusan tersebut dibuat bagi menstabilkan pasaran mata wang berikutan aliran keluar modal asing berjumlah AS$0.8 bilion pada suku pertama 2026. Langkah tersebut dilihat berjaya menarik kemasukan modal asing sebanyak AS$5.5 bilion setakat 18 Mei 2026.Situasi seperti ini sememangnya agak menggusarkan kerana ia seolah-olah mengimbau kenangan Krisis Kewangan Asia pada tahun 1997 dan 1998 yang bermula dengan kejatuhan nilai mata wang Thailand (baht) pada 2 Julai 1997. Apatah lagi dengan situasi perang di Iran yang masih belum menemui titik noktah.Di samping itu, negara yang mengamalkan dasar subsidi bahan api seperti Malaysia turut berdepan tekanan apabila perbelanjaan kerajaan bagi menampung subsidi tersebut meningkat beberapa kali ganda.Justeru, pengajaran daripada situasi ini ialah pentingnya mengekalkan tahap keyakinan pelabur, peniaga dan rakyat bahawa kerajaan memahami risiko krisis semasa serta sedang bertindak sewajarnya.Sehubungan itu, penyaluran maklumat terkini berkenaan situasi semasa dan langkah yang sedang diambil adalah penting supaya pihak berkepentingan dapat melihat usaha kerajaan.Perkongsian oleh Perdana Menteri, Menteri Ekonomi dan para penasihatnya seharusnya dapat menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam mencari langkah terbaik agar kesan krisis dapat diminimumkan.Sekiranya kita mengambil pergerakan mata wang asing sebagai isyarat atau kayu ukur terhadap keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia, jelas sekali negara kita dilihat berada di landasan yang tepat.Buat masa ini, nilai ringgit telah meningkat sebanyak 2.4 peratus dari awal tahun hingga Jumaat lalu kepada RM3.96 bagi setiap dolar AS.Prestasi ini merupakan yang kedua terbaik selepas mata wang China (yuan) yang meningkat sebanyak 3.3 peratus.Oleh itu, rakyat disaran supaya terus mengikuti perkembangan semasa berdasarkan maklumat yang sahih. Kita harus ingat bahawa dalam ekonomi sesebuah negara, semua pihak bertanggungjawab memastikan kestabilan ekonomi.*Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid ialah Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad

Go to News Site