Sinar Harian
KOTA BHARU – Cubaan seorang pemandu kereta mewah untuk melepasi sekatan jalan raya dengan menggunakan cukai jalan palsu gagal apabila ditahan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan dalam satu operasi khas sempena Hari Raya Aidiladha di Jalan Kuala Krai di sini pada Ahad.Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, pemuda berusia 20 tahun terbabit ditahan selepas anggota penguat kuasa mendapati terdapat keraguan terhadap maklumat cukai jalan kereta jenis BMW 320i yang dipamerkan pada cermin hadapan kenderaan berkenaan.Menurut beliau, hasil semakan melalui peranti penguatkuasaan pengurusan pintar (SmED) mendapati rekod dalam pangkalan data menunjukkan cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan itu tamat tempoh pada 12 Julai tahun lepas."Bagaimanapun, pemandu berkenaan mempamerkan salinan LKM yang menunjukkan tarikh tamat tempoh pada 19 Ogos tahun ini."Perbezaan maklumat antara dokumen yang dipamerkan dengan rekod dalam sistem menyebabkan timbul keraguan dan kami mengesyaki dokumen tersebut dipalsukan," katanya kepada pemberita selepas Ops Khas Motosikal sempena Ops Hari Raya Aidiladha 2026 di sini.Beliau berkata, susulan itu pihaknya mengambil tindakan menyita kenderaan berkenaan bagi membantu siasatan lanjut."Kes disiasat di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mempamerkan dokumen yang disyaki palsu," katanya.Menurut beliau, jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 sebagaimana diperuntukkan di bawah akta berkenaan.Mohd Misuari berkata, pemeriksaan lanjut turut mendapati pemandu yang tidak mempunyai pekerjaan itu juga tidak memiliki lesen memandu yang sah."Siasatan juga mendapati pemandu dan pemilik kenderaan adalah individu yang berbeza selain ada lima rekod saman lampau kesalahan melebihi had laju," katanya.Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sepanjang pelaksanaan Ops HRAA 2026 bermula 24 hingga 31 Mei lalu, sebanyak 4,694 kenderaan diperiksa melibatkan pelbagai kategori pengguna jalan raya.Daripada jumlah itu, 890 kenderaan diambil tindakan dengan 1,560 notis dikeluarkan manakala tujuh kenderaan disita atas pelbagai kesalahan."Antara kesalahan tertinggi yang dikesan ialah cukai jalan tamat tempoh melibatkan 228 kes dan hari ini sebanyak 13 kenderaan mewah termasuk jenis termasuk jenis Toyota Vellfire dan Alphard disita kerana kesalahan itu."Diikuti tiada lesen memandu sebanyak 115 kes serta lain-lain kesalahan teknikal sebanyak 132 kes," katanya.
Go to News Site