Sinar Harian
KUANTAN – Pemilihan Menteri Besar (MB) tidak ditentukan berdasarkan kedudukan seseorang dalam parti, sebaliknya bergantung kepada kelayakan individu untuk menerajui pentadbiran negeri.Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, jawatan tertinggi negeri itu bukan ganjaran kepada mana-mana pemimpin atas pengorbanan dalam parti.Menurutnya, tanggapan bahawa jawatan tersebut perlu diberikan kepada pimpinan tertinggi parti adalah tidak tepat kerana perkara itu tidak termaktub dalam perlembagaan Pas."Dalam Pas jawatan MB bukan jawatan yang wajib dipilih dari kalangan pimpinan tertinggi parti, siapa sahaja akan dipilih walaupun tidak mempunyai jawatan tertinggi dalam parti jika sekiranya ia layak."MB Kelantan, Kedah, Terengganu semuanya bukan Pesuruhjaya dan pimpinan paling tinggi Pas. Pilih pemimpin tertinggi sebagai PM atau MB bukan ada dalam perlembagaan Pas," katanya menerusi kenyataan Teraju Pahang: Impian Yang Sedang Bergerak di media sosial pada Isnin.Beliau berkata demikian ketika mengulas penularan poster bancian di media sosial yang memaparkan gambar Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bersama dirinya sebagai calon Menteri Besar Pahang.Mengulas persepsi bahawa jawatan Menteri Besar merupakan ganjaran kepada pemimpin parti, Rosli menegaskan perkara itu tidak timbul kerana semua ahli Pas turut berkorban untuk perjuangan parti.Jelasnya, pemimpin Pas hanya berhabis tenaga dan duit untuk parti tapi tidak pernah berhabis duit untuk mendapat jawatan dalam parti, maka tidak timbul jawatan MB itu sebagai imbuhan.Beliau menambah, Pas Pusat akan mencalonkan nama MB sebelum dipersembahkan kepada pihak istana untuk perkenan."Oleh sebab itu, isu 'siapa' tidak timbul," ujarnya.Dalam pada itu, Rosli memaklumkan tidak menjadi halangan sekiranya Tuan Ibrahim dipilih sebagai MB kerana pengalaman serta kelayakan yang dimiliki Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka itu.Menurutnya, PN Pahang ketika ini mempunyai 17 ADUN yang masing-masing mempunyai kepakaran tersendiri."Maka tidak timbul sangat sebenarnya "siapa bakal MB Pahang"?."MB dari PN pasti akan diumumkan dan dilantik secara rasmi setelah menang dan berjaya membentuk kerajaan, bila?, semuanya ada dalam ilmu Allah swt..cuma kami sedang berusaha dan bekerja untuk itu."Siapa pun nanti yang akan dipilih adalah yang berkelayakan, mempunyai standard untuk memimpin dan memiliki ciri kepimpinan berteraskan Al-Qawiy dan Al-Amin merangkumi kompetensi serta integriti," katanya.Dalam kenyataan sama, Rosli turut berseloroh bahawa daripada 17 ADUN PN Pahang, hanya ADUN Tanjung Lumpur tidak layak menjadi MB kerana beliau sendiri mengetahui kelemahan wakil rakyat berkenaan.
Go to News Site