Sinar Harian
TAPAH - Komuniti Orang Asli di Jalan Pahang di sini menyatakan kesediaan untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih sejak 23 Mei lalu.Rata-rata mereka berpandangan bahawa pengalaman hidup dan kepakaran dalam selok-belok hutan boleh membantu memperluaskan skop pencarian.Tok Batin Kampung Batu 17, Bah Ahang, 72, berkata, komuniti Orang Asli boleh digerakkan pada bila-bila masa sekiranya diperlukan pihak berkuasa.Menurutnya, meskipun operasi SAR kini melibatkan pelbagai agensi dan penggunaan teknologi, kepakaran Orang Asli dalam menjejaki laluan hutan serta memahami corak pergerakan di kawasan berkenaan boleh menjadi nilai tambah."Kalau pihak kerajaan minta bantuan, kita boleh gerakkan anak-anak buah untuk cari. Ikut kepakaran masing-masing, mereka tahu masuk hutan dan cara mencari," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Pasukan Polis Hutan (kini dikenali Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq) berpandangan, mangsa berkemungkinan masih bertahan, bergantung kepada keadaan fizikal dan pengetahuan tentang persekitaran hutan."Kalau dia ikut aliran sungai, dia boleh jumpa penempatan Orang Asli. Kawasan sekitar itu ada kampung di bahagian kaki bukit, jadi ada kemungkinan dia akan lalu kawasan berpenghuni," jelasnya.Sementara itu, Tok Batin Kampung Batu 9, Osman Bah Ut, 55, memaklumkan, terdapat dalam kalangan penduduk kampung yang bersedia membantu, namun jumlahnya terhad berikutan ramai generasi muda kini bekerja di luar."Yang mahir masih ada di kampung, tapi tidak ramai. Namun kalau diperlukan, mereka tetap sedia membantu," katanya.Beliau berkata, dalam mana-mana aktiviti pendakian, aspek keselamatan dan disiplin adalah dua asas penting yang perlu diberi perhatian serius.Katanya, dalam budaya Orang Asli, prinsip 'pergi bersama, pulang bersama' menjadi pegangan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini."Kalau kami Orang Asli, kalau dah pergi lima orang, mesti balik lima orang. Kalau ada yang sakit atau tak mampu teruskan, kami akan patah balik. Itu pantang kami sebab kalau teruskan juga, risiko sesat itu tinggi," katanya.Bagi Tok Batin Kampung Lata Iskandar, Nazri Bah Ngok, 60, terdapat kemungkinan mangsa ditemui oleh penduduk Orang Asli yang masuk ke hutan untuk mencari hasil seperti rotan, petai dan buluh."Kalau mereka masuk kawasan dalam, ada peluang terserempak dengan mangsa, terutama jika dia berada berhampiran laluan yang biasa digunakan," ujarnya.Beliau turut menekankan keperluan menggunakan khidmat malim gunung tempatan yang benar-benar arif dengan kawasan berkenaan.Menurutnya, setiap kawasan hutan mempunyai keunikan tersendiri dan hanya individu yang biasa dengan lokasi tersebut mampu memahami laluan serta risiko yang wujud."Kalau masuk hutan atau gunung, mesti rujuk orang tempatan yang tahu kawasan itu. Mereka tahu setiap ceruk, laluan dan keadaan muka bumi," katanya.Tok Batin Kampung Batu 15, Musa Bah Moreh, 70, pula berpandangan, pendekatan tradisional juga boleh dipertimbangkan dalam usaha membantu operasi SAR.Katanya, terdapat kepercayaan dalam kalangan Orang Asli bahawa sesetengah kejadian sesat melibatkan gangguan unsur tidak kelihatan, justeru memerlukan kaedah tertentu untuk "membuka laluan"."Kadang-kadang bukan sebab tak tahu jalan, tetapi ada perkara lain yang menghalang. Jadi perlu ada ikhtiar tertentu untuk bantu buka laluan supaya mangsa boleh nampak jalan keluar," katanya.Beliau turut berkongsi pengalaman terdahulu melibatkan kes kehilangan di kawasan sama yang mengambil masa sehingga dua minggu sebelum mangsa ditemui selamat.Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Choong Shin Heng berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan antara pihak polis bersama 12 Tok Batin bagi menyelaras bantuan komuniti tersebut."Gambar mangsa telah diedarkan kepada semua Tok Batin melalui kumpulan WhatsApp supaya mereka boleh maklumkan segera sekiranya ada anak buah yang ternampak mangsa ketika masuk hutan mencari rezeki," katanya.Beliau berkata, respon yang diterima daripada komuniti Orang Asli amat positif dan mereka menyatakan kesediaan untuk membantu menggunakan kepakaran masing-masing."Mereka sangat aktif dan sanggup membantu. Dengan pengetahuan mereka tentang kawasan hutan, kita harap ia dapat memperkukuh lagi usaha pencarian," katanya.Operasi SAR Jaslinda kini memasuki fasa kritikal selepas lebih seminggu kehilangan dengan pelbagai pendekatan terus digerakkan termasuk penglibatan komuniti setempat bagi meningkatkan kebarangkalian mangsa ditemui.
Go to News Site