Collector
KKM jalankan 34,903 aktiviti penguatkuasaan, periksa 683,704 premis | Collector
KKM jalankan 34,903 aktiviti penguatkuasaan, periksa 683,704 premis
Sinar Harian

KKM jalankan 34,903 aktiviti penguatkuasaan, periksa 683,704 premis

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan sebanyak 34,903 aktiviti penguatkuasaan dengan 683,704 premis diperiksa di seluruh negara sejak 1 Oktober 2024 hingga 30 April lalu dalam usaha menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).KKM dalam kenyataan memaklumkan, hasil daripada penguatkuasaan yang dijalankan, sebanyak 233,831 kompaun dikeluarkan bagi kesalahan boleh dikompaun, manakala 4,226 kertas siasatan dibuka bagi kesalahan yang tidak boleh dikompaun.Menurut kementerian itu, bagi tindakan pendakwaan di mahkamah pula, sebanyak 398 kes masih dalam tindakan pendakwaan, manakala 204 kes telah selesai dengan mahkamah menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM1.189 juta.KKM berkata, Akta 852 telah dikuatkuasakan pada 1 Oktober 2024 dengan pelaksanaan penuh bermula 1 Oktober 2025, dan penguatkuasaan dilaksanakan menerusi Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa)."Operasi ini memberi fokus utama kepada aktiviti pengilangan, pengedaran dan penjualan semua jenis produk merokok bagi melindungi generasi muda daripada bahaya produk merokok termasuk rokok elektronik dan vape yang semakin berleluasa," menurut kenyataan itu pada Isnin.Dalam perkembangan berkaitan, KKM mengambil serius aduan yang dibangkitkan di media sosial berhubung aktiviti pengiklanan dan penjualan produk vape secara dalam talian yang disyaki melanggar Akta 852.Susulan aduan diterima, kementerian itu telah membuat semakan terhadap 10 platform laman sesawang yang diadukan dan mengemukakan permohonan tindakan di bawah Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyekat empat laman sesawang terbabit.Menurut KKM, enam lagi laman sesawang kini dalam tindakan susulan siasatan lanjut.Selain itu, KKM memaklumkan sehingga 30 April 2026, sebanyak 2,595 kertas siasatan telah dibuka membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 7, 8, 9 dan 10 Akta 852 berkaitan iklan dan promosi produk tembakau secara dalam talian termasuk penjualan vape.KKM menegaskan tiada kompromi terhadap sebarang pelanggaran Akta 852 dan mengalu-alukan kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan ketidakpatuhan undang-undang kesihatan melalui talian WhatsApp Aduan Merokok di 010-8608949.

Go to News Site