Sinar Harian
SHAH ALAM - Sebanyak 46 jenis barangan keperluan harian diperiksa dengan sembilan notis dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] menerusi Op Kesan 6.0 di seluruh Selangor pada Isnin.Operasi dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor di peringkat peruncit seperti pasar raya dan kedai runcit.Barangan diperiksa melibatkan kategori pertanian seperti sayur sawi, kailan, timun, tomato dan cili merah, manakala kategori barangan hasil penternakan seperti ayam standard dan telur ayam selain barangan dalam kategori petrokimia seperti produk pembungkusan plastik.Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa'ari berkata, sembilan notis ke atas peniaga dikeluarkan untuk mendapatkan maklumat terperinci berkaitan harga dan kos barangan terlibat.Katanya, ini merupakan langkah intervensi kepada peniaga agar berwaspada dan beretika supaya tidak sesekali mengambil kesempatan susulan krisis tenaga global."Tindakan pemeriksaan selepas ini akan diteruskan dan diperluas di pelbagai peringkat rantaian perniagaan termasuklah pengeluar, pengilang, penternak, peladang, pengedar dan pemborong."Pemilihan pemeriksaan di peringkat peruncit pada hari ini bersesuaian dengan situasi semasa pengguna baharu sahaja melepasi musim perayaan dan dalam tempoh musim cuti persekolahan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Beliau berkata, urus niaga pengguna di peringkat runcit wajar dipantau rapi kedudukan bekalan dan pergerakan harga dalam tempoh krisis global.Tambahnya, KPDN akan mengambil tindakan tegas sekiranya kenaikan harga yang tidak munasabah dilakukan dan tidak sejajar dengan perundangan pencatutan."KPDN Selangor juga terbuka untuk memberikan nasihat berkaitan prinsip asas dan mekanisme penentuan pencatutan bagi memastikan peniaga sentiasa peka dengan undang-undang yang sedang dikuatkuasakan," ujarnya.Op Kesan 6.0 mula berkuat kuasa pada 1 Jun sehingga 31 Ogos 2026.Pelaksanaan operasi ini bertitik tolak daripada krisis bekalan global dan lonjakan harga minyak mentah dunia.Krisis global ini, memberikan kesan berperingkat kepada rantaian bekalan, kos penghantaran serta harga barangan asas di Malaysia.
Go to News Site