Collector
Dua tahun kaut hasil seludup bahan api ke Thailand | Collector
Dua tahun kaut hasil seludup bahan api ke Thailand
Sinar Harian

Dua tahun kaut hasil seludup bahan api ke Thailand

RANTAU PANJANG - Kegiatan seorang lelaki menyeludup minyak diesel dan petrol ke Thailand sejak kira-kira dua tahun lalu akhirnya tumpas apabila dia dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama 270 liter bahan api itu dalam serbuan di sebuah pangkalan haram di Lubok Gong di sini pada Isnin.Suspek berusia 24 tahun itu ditahan dalam Operasi Taring Wawasan yang dijalankan anggota Strike Force Sektor A Rantau Panjang, Kompeni A Batalion 8 PGA dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pasir Mas kira-kira jam 1.30 petang.Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, ketika pemeriksaan dilakukan di pangkalan haram zink merah, anggota PGA menemui seorang lelaki berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan premis berkenaan.Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di kawasan pangkalan haram itu menemukan sembilan tong plastik berisi minyak diesel yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran."Sebanyak 270 liter minyak diesel bernilai RM1,314.90 dirampas dalam operasi tersebut."Lelaki terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan sebelum kes dirujuk kepada KPDN Pasir Mas untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita pada Isnin.Ahmad Radzi memberitahu, hasil siasatan awal mendapati, suspek mengaku terlibat dalam aktiviti penyeludupan bahan api itu sejak kira-kira dua tahun lalu.Ujar beliau, suspek dipercayai menggunakan taktik membeli diesel di beberapa stesen minyak sekitar Kota Bharu yang kurang mendapat perhatian pihak berkuasa."Modus operandi digunakan adalah dengan mengisi minyak hanya sekali sehari di setiap stesen minyak bagi mengelakkan dikesan melakukan pembelian berulang di lokasi yang sama."Minyak yang berjaya dikumpulkan kemudian dihantar ke pangkalan haram sebelum disedut daripada tangki kenderaan ke dalam tong-tong plastik untuk tujuan penyeludupan ke Thailand," katanya.Menurut beliau, semasa serbuan dijalankan, pihak PGA tidak menemui kenderaan yang digunakan dalam kegiatan berkenaan.Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Go to News Site