Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Bil subsidi tenaga kerajaan melonjak daripada RM15 bilion yang diperuntukkan kepada unjuran RM58 bilion, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pakar mengenai kemampanan pendekatan tersebut untuk jangka panjang.Profesor ekonomi Sunway University, Dr Yeah Kim Leng berkata, pendekatan sedemikian tidak lestari dari sudut fiskal kerana jumlah itu bersamaan hampir 3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang berkemungkinan perlu dibiayai menerusi pinjaman."Ini akan menyebabkan nisbah hutang kepada KDNK negara melepasi had statutori 65 peratus."Pendekatan yang lebih berhemah ialah mengawal peningkatan bil subsidi bahan api dan berkongsi kesan kejutan harga tenaga global secara lebih adil antara pengguna dan perniagaan, sambil melindungi isi rumah rentan dan perniagaan kecil secara lebih bersasar," katanya.Yeah berkata, akan wujud pertukaran kepentingan untuk mengelakkan bil subsidi terus melonjak, memandangkan inflasi dijangka meningkat pada kadar lebih pantas."Namun begitu, inflasi negara yang rendah dan stabil dengan purata 1.9 peratus sejak separuh kedua 2023 menunjukkan kapasiti mencukupi untuk menghadapi peningkatan inflasi pada tahap sederhana."Satu lagi pendekatan bagi mengelakkan kemerosotan fiskal berlebihan ialah mengurangkan perbelanjaan kerajaan dengan mengetatkan perbelanjaan budi bicara dan pembangunan secara terpilih supaya pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan dan usaha peningkatan kapasiti tidak terjejas," katanya.Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Centre for Market Education, Carmelo Ferlito berkata, keadaan itu juga bermakna kerajaan menggunakan kewangan awam untuk menyembunyikan kos sebenar tenaga daripada pengguna, sambil memindahkan beban tersebut kepada pembayar cukai, generasi pembayar cukai masa depan dan sektor lain perbelanjaan awam."Bahaya subsidi bahan api secara menyeluruh ialah ia kelihatan prihatin dalam jangka pendek, tetapi lama-kelamaan menjadi tidak tepat dari sudut sosial serta membebankan fiskal (dan tempoh itu di Malaysia sebenarnya sudah terlalu lama)."Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada isi rumah rentan, malah turut menguntungkan isi rumah dan perniagaan yang menggunakan lebih banyak bahan api hanya kerana penggunaan mereka lebih tinggi. Dalam erti kata lain, ia tidak benar-benar bersasar," katanya.Beliau menegaskan bahawa alternatif lebih baik ialah beralih kepada satu harga pasaran bersama bantuan bersasar secara individu."Harga di pam minyak seharusnya kekal seragam dan berasaskan pasaran, manakala bantuan disalurkan terus kepada golongan yang memerlukan melalui baucar khusus untuk bahan api, pengangkutan, makanan atau keperluan asas lain," ujarnya.Carmelo berkata, kerajaan tidak sepatutnya memanipulasi harga di peringkat jualan, sebaliknya membantu isi rumah secara langsung dan telus."Ini akan melindungi golongan rentan sambil mengekalkan fungsi ekonomi sesuatu harga. Harga memberi petunjuk tentang di mana kekurangan bekalan sedang berlaku. Jika kita menekannya secara buatan, kita juga menekan insentif untuk berjimat, menyesuaikan diri, berinovasi atau mencari alternatif," katanya.Penyelidik dan penganalisis dasar South-East Asian Futures Initiative Centre, Dr Mikhail Rosli berkata, persoalan lebih besar ialah setiap ringgit yang dibelanjakan untuk subsidi merupakan ringgit yang tidak digunakan bagi keperluan penting seperti penjagaan kesihatan."Jadi saya akan berhati-hati untuk membingkaikan isu ini sama ada ia mampan atau tidak, kerana tiada risiko ketidakmampuan membayar. Kerajaan Malaysia masih mampu menanggungnya."Tetapi persoalan lebih besar ialah setiap ringgit yang dibelanjakan untuk subsidi ialah ringgit yang tidak dibelanjakan untuk kesihatan atau pendidikan dan saya fikir itulah perbincangan lebih besar yang perlu dimulakan rakyat Malaysia," katanya.Mikhail berkata, perbincangan seperti itu sensitif kerana idea yang diketengahkan sememangnya melibatkan keputusan dan pertukaran kepentingan antara kelompok masyarakat."Contohnya cadangan terbaru supaya isi rumah T20 tidak menerima Budi95. Itu adalah satu pilihan yang dibuat secara aktif dan sebenarnya juga satu pilihan politik. Dan saya fikir inilah perbincangan yang masyarakat Malaysia perlu mula lakukan. Malangnya, kita masih belum melakukannya," katanya.
Go to News Site