Collector
'Buka pintu lihat jasad tanpa kepala' | Collector
'Buka pintu lihat jasad tanpa kepala'
Sinar Harian

'Buka pintu lihat jasad tanpa kepala'

SHAH ALAM - Siren, asap tebal dan jeritan meminta tolong sudah menjadi sebahagian daripada rutin hidup anggota bomba.Namun, di sebalik tugas menyelamat yang berdepan pelbagai cerita, tersimpan pelbagai pengalaman ngeri yang kadangkala meninggalkan kesan mendalam terhadap emosi anggota penyelamat.Bagi Pegawai Bomba Kanan 1, Mohd Syarim A Malek, antara pengalaman paling sukar dilupakan sepanjang lebih 20 tahun berkhidmat dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ialah ketika menyaksikan sendiri keadaan mangsa kemalangan tanpa kepala pada hari pertama beliau melapor diri sebagai anggota bomba.Menurutnya, kejadian itu berlaku pada tahun 2005 ketika dia baharu ditempatkan di Balai Bomba dan Penyelamat Damansara selepas tamat latihan rekrut selama sembilan bulan.Katanya, ketika itu dia masih muda dan bersemangat untuk memulakan kerjaya sebagai anggota penyelamat.Namun, panggilan kecemasan pertama diterima malam itu menjadi pengalaman yang tidak mungkin dapat dipadam daripada ingatannya.Mohd Syarim berkata, dia bersama beberapa anggota lain bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan kemalangan jalan raya berhampiran sebuah hotel di Damansara.Katanya, sepanjang perjalanan menaiki jentera bomba, fikirannya hanya tertumpu untuk membantu mangsa kerana ketika itu dia mahu membuktikan kemampuan sebagai anggota baharu."Saya masih ingat lagi malam itu, saya baru sahaja melapor diri di balai, semangat memang sedang berkobar-kobar sebab baru habis latihan rekrut."Apabila loceng kecemasan berbunyi, saya terus mencapai kelengkapan dan menaiki jentera bersama anggota lain. Waktu itu dalam fikiran saya cuma mahu membantu operasi seperti anggota senior lain," katanya yang kini bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam kepada Sinar Harian.Menurutnya, sebaik jentera berhenti di lokasi kejadian, dia terus membuka pintu untuk menjalankan tugas.Namun katanya, apa yang dilihat di hadapan mata ketika itu benar-benar membuatkannya hilang kata-kata."Apabila pintu jentera dibuka, betul-betul di sebelah saya ada sebuah kereta yang remuk teruk, bumbung kereta tercabut."Pandangan saya ketika itu terus tertumpu kepada satu tubuh manusia yang tangannya masih memegang stereng, tetapi kepalanya sudah tiada," katanya.Kongsinya, kejadian itu membuatkannya tergamam."Memang saya tidak pernah melihat keadaan seperti itu sepanjang hidup tambahan ketika itu waktu malam, menambahkan lagi perasaan yang sukar saya ungkapkan," kongsinya.Jelasnya, walaupun anggota lain turun menjalankan operasi, dia hanya mampu duduk di dalam jentera kerana terlalu terkejut dengan keadaan mangsa."Fikiran saya menjadi kosong, orang bercakap di sekeliling pun saya sudah tidak dengar apa-apa, saya terus menutup pintu jentera."Dalam fikiran saya ketika itu cuma bayangan tubuh mangsa tadi, saya memang tidak mampu menggerakkan kaki untuk turun membantu operasi," katanya.Menurutnya, selepas operasi selesai dia dimarahi penyelia kerana dianggap gagal menjalankan tugas sebagai anggota baharu."Penyelia bertanya mengapa saya tidak turun membantu operasi. Beliau marah sebab menyangka saya takut atau sengaja mengelak."Tetapi apabila saya ceritakan apa yang saya alami ketika itu, beliau terus diam dan akhirnya mengatakan saya mengalami trauma," ujarnya.Beliau berkata, kejadian tersebut memberi kesan emosi yang sangat kuat sehingga menyebabkannya demam selama beberapa hari."Empat hari saya demam. Apabila malam hendak tidur, pejam mata sahaja saya nampak kembali keadaan mayat itu di depan mata."Masa itu saya baru faham tugas bomba ini bukan setakat perlukan kekuatan fizikal, tetapi mental juga perlu benar-benar kuat," luahnya.Angkat 17 mayat rentungKatanya, sepanjang bergelar anggota penyelamat, dia sudah mengangkat 17 mayat rentung dalam kebakaran."Kerja kami ini memang banyak bermain dengan duka. Kami merupakan orang pertama tiba di lokasi dan melihat sendiri keadaan mangsa."Perkara seperti ini memang meninggalkan kesan dalam hati, tetapi pada masa sama ia mengajar saya supaya lebih menghargai kehidupan," katanya.Mohd Syarim turut mengingati satu lagi kejadian kebakaran di Seri Muda yang menyentuh emosinya apabila seorang lelaki menjerit meminta bantuan selepas ahli keluarganya terperangkap dalam rumah yang sedang terbakar."Ketika itu suami sempat keluar dahulu. Apabila dia sedar isteri, anak dan ayahnya masih berada dalam rumah, dia terus meraung meminta tolong kepada kami."Di situ saya nampak sendiri bagaimana manusia boleh hilang arah apabila berdepan situasi nyawa di hujung tanduk," ceritanya.

Go to News Site