Sinar Harian
SEBAHAGIAN perniagaan kini masih bergantung kepada stok bekalan terdahulu, kata Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC) Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Lee Heng Guie.Beliau berpendapat bahawa impak penuh daripada situasi di Asia Barat dan gangguan di laluan Selat Hormuz masih belum terserlah sepenuhnya.Bagaimanapun, memandangkan stok lama bakal kehabisan, beliau menjangkakan perniagaan akan menghadapi tempoh ujian tekanan yang sebenar pada suku kedua tahun ini, terutamanya antara Mei hingga Julai.Menurutnya, pihak pengeluar telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap situasi masa hadapan."Perniagaan bukan sahaja berdepan kenaikan mendadak kos bahan mentah di mana harga turun naik hampir setiap minggu, malah apa yang lebih rumit adalah risiko bekalan iaitu situasi barang mungkin tidak dapat dibeli walaupun syarikat sanggup membayar kos tinggi."Beberapa pengusaha cuba menambah jumlah pesanan daripada pembekal, namun kumpulan itu sendiri tidak dapat menjamin bekalan yang mencukupi," katanya.Heng Guie menambah, kekurangan bahan mentah pasti menjejaskan pengeluaran secara langsung, seterusnya mencetuskan rantaian kesan negatif ekonomi dan kilang-kilang berkemungkinan mengurangkan talian pengeluaran."Ia bukan pemberhentian pekerja, sebaliknya penyusunan semula sistem shift kerja, namun saya berharap kita tidak akan melihat situasi sedemikian berlaku."Demi mengimbangi antara kelangsungan hidup dan kenaikan kos, tindakan perniagaan untuk menaikkan harga jualan produk adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan," kata beliau.Ujarnya lagi, sebahagian peniaga mula mengeluarkan notis pelarasan harga kepada pelanggan di mana ada yang merancang untuk menaikkan harga pada bulan Jun, manakala lain-lain ingin menangguhkannya sehingga September.Beliau berkata, dalam keadaan kos bahan mentah dan tambang pengangkutan yang meningkat secara serentak, pihak perniagaan mula mengambil sikap berhati-hati serta tunggu dan lihat.Menurut Heng Guie lagi, permintaan pasaran masih wujud dan perniagaan harus meneruskan pengeluaran, namun isu utamanya terletak pada harga perolehan bahan mentah serta sama ada bekalannya mencukupi.Katanya, di bawah momentum ekonomi perlahan dan penggunaan domestik yang semakin lemah, jumlah pembelian pelanggan mungkin berkurangan selepas kenaikan harga produk."Pelanggan akan beralih kepada corak 'beli apabila sudah habis, ambil kuantiti yang cukup-cukup sahaja'."Pengusaha tidak akan menyorok atau menyimpan stok melebihi had bagi mengelakkan diri daripada terperangkap dalam situasi stok kos tinggi."Pada ketika ini, pihak yang terkesan sama ada pembekal, pemborong atau peruncit akan mengambil sikap tunggu dan lihat, ini bakal menyebabkan kelembapan ekonomi," ujarnya.Heng Guie turut mendedahkan bahawa tinjauan yang dijalankan oleh SERC terhadap ahlinya dari 19 hingga 25 Mac tahun ini menunjukkan jika keadaan masih berterusan, peniaga menjangkakan mereka mampu bertahan selama tiga atau enam bulan sahaja lagi.Beliau memaklumkan, setakat ini belum ada situasi di mana perniagaan membunyikan loceng amaran, namun aliran tunai dan margin keuntungan perniagaan jelas berada di bawah tekanan.Justeru, kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan pelbagai langkah bantuan bagi mengurangkan kesan perang di Asia Barat serta kenaikan harga minyak terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS).Bagi peringkat pengguna pula, Heng Guie berpendapat bahawa perkara yang paling langsung dirasai oleh orang ramai selepas ini adalah kenaikan kos sara hidup, terutamanya harga makanan.Beliau memberitahu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu telah pun menjangkakan harga makanan akan terus berdepan tekanan kenaikan pada separuh kedua tahun ini, susulan negara pengeluar sendiri menghadapi peningkatan kos, kemudiannya menaikkan harga."Harga baja yang diperlukan untuk pengeluaran pertanian telah meningkat. Oleh itu, harga jualan masa hadapan bagi produk pertanian yang bergantung kepada baja akan turut meningkat."Rakyat jelata mesti bersedia dari segi mental bahawa inflasi akan meningkat, kos sara hidup akan menjadi lebih tinggi dan perlu merancang perbelanjaan sendiri," jelasnya.Pada hemat beliau, suasana penggunaan dalam pasaran mulai melemah di mana kedai kopi dan restoran mamak serta bilangan pengunjung pada waktu malam semakin berkurangan.Katanya, pengguna cenderung untuk berbelanja secara terpilih dan merancang perbelanjaan mereka.Jelas Heng Guie, walaupun petrol RON95 buat masa ini masih diberi subsidi oleh kerajaan dan harga minyak kekal pada paras rendah, gangguan rantaian bekalan serta kejutan tenaga yang menyebabkan kenaikan kos bahan mentah atau kos pengangkutan akan dipindahkan secara berperingkat kepada harga barangan keperluan harian, hingga akhirnya menjejaskan kuasa beli.Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa orang ramai tidak perlu menghentikan perbelanjaan sepenuhnya disebabkan perkara itu."Perbelanjaan yang penting tetap perlu diteruskan, jangan biarkan semua orang berhenti berbelanja," katanya lagi.Selain itu beliau berpendapat, walaupun perang berakhir, harga minyak antarabangsa tidak semestinya akan turun dengan cepat dan kembali ke paras sebelum perang, memandangkan kemudahan minyak yang rosak memerlukan masa lama untuk diperbaiki."Sesetengah kemudahan mungkin mengambil masa enam bulan, lapan bulan atau lebih daripada setahun untuk pulih."Justeru, semua orang harus bersedia dari segi mental bahawa 'scarring effect' ini mungkin akan berlarutan sehingga 2027," ulasnya panjang.
Go to News Site