Collector
Negara perlu stok minyak minimum, elak kejutan harga | Collector
Negara perlu stok minyak minimum, elak kejutan harga
Sinar Harian

Negara perlu stok minyak minimum, elak kejutan harga

KUALA LUMPUR - Pakar menggariskan beberapa langkah jangka sederhana dan panjang, termasuk mewajibkan simpanan stok minimum, mempelbagaikan sumber pembekal serta memperluaskan perdagangan terbuka bagi mengurangkan kerentanan Malaysia terhadap kejutan harga minyak dan gangguan rantaian bekalan pada masa hadapan.Profesor ekonomi Sunway University, Dr Yeah Kim Leng berkata, Malaysia ketika ini masih belum mempunyai rizab minyak mandatori yang mencukupi selain terlalu bergantung kepada rantaian bekalan 'just-in-time' dan pengeluaran domestik.Menurut beliau, gangguan besar seperti sekatan di Selat Hormuz atau krisis bekalan global mampu mendedahkan kelemahan negara dalam tempoh hanya beberapa minggu."Negara mungkin perlu mewajibkan syarikat minyak menyimpan stok minimum seperti bekalan kecemasan selama 60 hingga 90 hari, mewujudkan rizab petroleum yang diurus kerajaan serta membentuk mekanisme telus bagi pelepasan stok semasa krisis."Reformasi ini secara langsung dapat mengelakkan kekurangan fizikal bekalan dan lonjakan harga, menjadikannya keutamaan tertinggi. Sama penting ialah mempelbagaikan sumber tenaga memandangkan grid tenaga Malaysia masih terlalu bergantung kepada gas asli (sekitar 40 peratus) dan arang batu (sekitar 30 peratus), sekali gus menjadikan negara terdedah kepada kejutan harga dan gangguan bekalan," katanya.Dalam masa sama, beliau berkata, langkah utama lain termasuk mempercepatkan pembangunan tenaga solar berskala grid bersama penyimpanan bateri, mempelbagaikan sumber import gas asli dan meneroka import tenaga hidro serantau melalui Grid Kuasa Asean."Penyesuaian industri seperti pengurangan subsidi tenaga secara berperingkat dan menggalakkan eksport bukan berasaskan minyak juga penting, tetapi kurang mendesak kerana ia mengambil masa bertahun-tahun untuk menunjukkan hasil."Susunan terbaik ialah membina stok penampan terlebih dahulu bagi menghadapi krisis segera, diikuti kepelbagaian tenaga untuk mengurangkan pendedahan jangka panjang dan akhirnya penyesuaian industri bagi membina daya tahan berkekalan," ujarnya.Ketua Pegawai Eksekutif Centre for Market Education, Carmelo Ferlito berkata, dalam jangka sederhana, Malaysia memerlukan persediaan lebih baik dan bukannya campur tangan bersifat ad hoc."Ini termasuk data lebih jelas mengenai pendedahan sektor, bantuan bersasar yang lebih fleksibel, infrastruktur logistik lebih baik serta prosedur kastam dan pelabuhan yang lebih pantas bagi mengurangkan kelewatan serta kos yang tidak perlu," katanya.Bagi jangka panjang pula, Carmelo menegaskan keutamaan utama ialah ketahanan ekonomi, yang bermaksud membenarkan harga tenaga mencerminkan kekurangan bekalan sebenar sambil melindungi isi rumah rentan melalui bantuan tunai telus atau baucar khusus."Ia juga bermaksud menggalakkan syarikat mempelbagaikan pembekal, melabur dalam logistik yang lebih cekap serta mengurangkan pergantungan kepada satu input, laluan atau negara sumber sahaja," jelasnya.Beliau turut berkata, Malaysia perlu membina stok penampan strategik yang lebih kukuh sekiranya ia memberi manfaat ekonomi."Namun stok penampan perlu digunakan secara berhati-hati. Ia boleh membantu ketika gangguan sementara, tetapi bukan pengganti kepada isyarat harga atau penyesuaian pasaran. Jika stok penampan dijadikan alat kekal untuk menekan harga, ia akan mewujudkan masalah sama seperti subsidi."Reformasi lebih besar ialah membina ekonomi yang mampu menyesuaikan diri dengan pantas: perdagangan lebih terbuka, kurang halangan peraturan, logistik lebih kompetitif, pasaran buruh lebih fleksibel dan kurang pergantungan kepada harga yang ditentukan secara politik," katanya.Penyelidik dan penganalisis dasar South-East Asian Futures Initiative Centre, Dr Mikhail Rosli berkata, mengenal pasti input kritikal amat penting dalam pemetaan rantaian bekalan."Contoh terbaik ialah bagaimana dalam krisis semasa ini kita banyak menggunakan pemetaan rantaian bekalan yang digunakan ketika pandemik Covid-19. Jadi pengalaman itu juga akan membantu kita pada masa depan," katanya.Dalam jangka panjang, Mikhail turut menekankan keperluan mempelbagaikan pembekal."Ketika ini kita mula menyedari bahawa kira-kira 70 peratus import bagi produk tertentu (contohnya) datang melalui Hormuz. Jadi saya fikir kita perlu mula memikirkan tentang kepelbagaian pembekal, sekurang-kurangnya untuk membantu syarikat pengimport ini."Kita juga boleh memulakan perbincangan lebih besar mengenai tenaga hijau dan usaha membawa sebahagian rantaian bekalan ini kembali ke Malaysia," ujarnya.Mengenai cadangan membangunkan penggunaan biodiesel sawit sebagai alternatif kepada bahan api fosil, Mikhail berkata, beliau mempunyai dua kebimbangan utama iaitu skala dan risiko penumpuan."Perkara pertama ialah skala. Biodiesel sawit hanya boleh menggantikan sebahagian penggunaan bahan api. Ia tidak mampu menggantikan bahan api penerbangan dan juga tidak boleh menggantikan urea untuk baja. Jadi skala penggunaannya sebagai respons mungkin terhad," katanya.Kedua, beliau berkata, jika biodiesel sawit dijadikan tonggak utama keselamatan tenaga negara, langkah itu boleh menumpukan terlalu banyak risiko negara kepada satu komoditi yang sama."Minyak sawit sudah pun menjadi komoditi eksport penting dan sumber utama pendapatan luar bandar. Jadi jika kita juga mahu membina keselamatan tenaga berasaskan sawit, maka terlalu banyak aspek keselamatan Malaysia akan bergantung kepada satu komoditi ini."Jadi ia mungkin bukan langkah paling bijak untuk jangka panjang, tetapi tetap berguna pada tahap tertentu," katanya.

Go to News Site