Collector
Kelab baharu Kelantan perlu bina identiti sendiri | Collector
Kelab baharu Kelantan perlu bina identiti sendiri
Sinar Harian

Kelab baharu Kelantan perlu bina identiti sendiri

KELAB-kelab baharu yang ditubuhkan di Kelantan perlu membina identiti, sejarah dan kelompok penyokong sendiri tanpa bergantung pada legasi pasukan terdahulu. Pemerhati bola sepak tempatan, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, kemunculan kelab baharu dalam Liga Malaysia (Liga-M) merupakan perkembangan positif kepada pembangunan bola sepak negeri. Namun jelasnya, usaha mengembalikan kegemilangannya perlu bermula dengan penyelesaian isu membabitkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), termasuk status penggantungannya oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). "Sokongan penyokong tidak akan hadir secara automatik hanya kerana sesebuah pasukan menggunakan nama Kelantan atau mendakwa diri sebagai pewaris sejarah pasukan terdahulu," katanya dalam kenyataan. Ahmad Muzakkir berkata bola sepak Kelantan masih mampu diselamatkan sekiranya diterajui oleh pemilik yang mempunyai kemampuan kewangan kukuh, tadbir urus yang baik dan perancangan jangka panjang. "Roh sebenar bola sepak Kelantan masih berada pada Kelantan FC kerana kelab itu merupakan kesinambungan sejarah pasukan negeri selepas melalui proses penswastaan daripada KAFA pada 2020," katanya ketika mengulas hasrat kumpulan Ex-Treble Kelantan untuk membeli 80 peratus saham Kelantan WTS FC. Sehubungan itu, katanya, kerjasama antara KAFA, penyokong, bekas pemain, pelabur dan pihak berkepentingan lain amat penting untuk membina semula kekuatan bola sepak negeri. Beliau berkata sejarah, budaya dan legasi bola sepak Kelantan yang dibina selama puluhan tahun tidak boleh dibeli atau diwujudkan semula hanya dengan penubuhan pasukan baharu. - Bernama

Go to News Site