Sinar Harian
PERANG antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang belum menampakkan tanda-tanda gencatan senjata, ditambah pula Selat Hormuz masih disekat menyebabkan pengguna mula berjimat-cermat dalam persekitaran tidak menentu serta dihimpit kenaikan harga barang.Soalan 'ke mana perginya para pengguna' antara keluhan yang mulai kedengaran di pasaran.'Gelombang dingin' sebegini memberi tamparan hebat kepada semua sektor, malah pengusaha daripada pelbagai industri mengadu bahawa keadaan pasaran kini sangat lesu.Tinjauan soal selidik yang dijalankan secara bersama oleh Sin Chew Daily dan Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia) dari 12 hingga 20 Mei lalu melibatkan 102 pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menunjukkan bahawa sektor itu sedang menanggung tekanan berganda.Selain berdepan kenaikan kos bahan mentah, logistik dan operasi, PKS turut terkesan akibat permintaan pengguna yang lemah, menyebabkan kumpulan itu tidak berani memindahkan kos kepada pengguna.Sebanyak 70.6 peratus responden berpendapat bahawa kewangan syarikat masing-masing hanya mampu bertahan paling lama enam bulan, malah 32.4 peratus pula pesimis bahawa jika keadaan tidak bertambah baik atau tiada bantuan diberikan, syarikat tidak dapat bertahan dalam tempoh satu hingga tiga bulan lagi.Tinjauan menunjukkan bahawa sekiranya ketegangan geopolitik berterusan, kebimbangan terbesar PKS adalah permintaan pengguna yang lemah (40.2 peratus), diikuti peningkatan kos operasi (27.5 peratus) dan gangguan rantaian bekalan (17.6 peratus).Dalam keadaan permintaan pasaran yang lemah, majoriti syarikat masih tidak berani menaikkan harga secara melulu walaupun kos operasi meningkat.Buat masa ini, 40.2 peratus responden masih menyerap kos berkenaan, 32.4 peratus pula menaikkan harga manakala 26.5 peratus lagi merancang untuk berbuat perkara sama dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang.Dari 41 syarikat yang menyerap kos, sebahagian besarnya sudah menghadapi tekanan kenaikan kos operasi ketara.Antaranya, dua syarikat menyatakan kos operasi keseluruhan meningkat melebihi 50 peratus; lapan syarikat meningkat antara 31 peratus hingga 50 peratus; 19 syarikat meningkat antara 10 peratus hingga 30 peratus; hanya lima syarikat mengalami kenaikan kurang dari 10 peratus, manakala tujuh syarikat lagi menyatakan tidak pasti atau belum terkesan buat masa sekarang.Presiden Kebangsaan SME Malaysia, Dr Chin Chee Seong berkata, permintaan pengguna mulai merosot selepas sambutan Tahun Baru Cina.Pihak industri bimbang sekiranya pengguna mengurangkan perbelanjaan, ia bakal memberi impak langsung kepada pendapatan yang seterusnya menjejaskan aliran tunai."Walaupun kos bahan mentah dan pengangkutan terus meningkat, pengusaha tetap tidak berani memindahkan kos tersebut kepada pengguna secara melulu."Ini kerana permintaan pasaran sudah sedia lemah dan tindakan menaikkan harga berisiko menyebabkan syarikat kehilangan pelanggan," katanya.Beliau menambah, hasil kaji selidik ini secara amnya selari dengan kesimpulan tinjauan yang dijalankan oleh persatuan pada April lalu.Pada April, SME Malaysia telah menjalankan kaji selidik mengenai kesan kenaikan harga minyak terhadap PKS yang menyaksikan penyertaan 335 responden.Ketika itu, responden bimbang tentang pengurangan perbelanjaan oleh pengguna, penyusutan margin keuntungan syarikat serta persaingan pasaran yang menyukarkan syarikat untuk menaikkan harga secara bebas, manakala inflasi pula melemahkan kuasa membeli di seluruh negara.Ramai responden menyatakan bahawa PKS semakin menghampiri tahap kritikal dan tindakan pengusaha terus menyerap kos sudah tidak lagi mampan untuk diteruskan.Tinjauan terbaharu oleh Sin Chew Daily dan SME Malaysia menunjukkan bahawa dalam menghadapi tekanan kos, PKS mula melakukan pelbagai pelarasan operasi.Sebanyak 26.5 peratus responden memutuskan untuk menangguhkan pelan pengembangan perniagaan atau pengambilan pekerja, 18.6 peratus ingin mengurangkan pesanan manakala 9.8 peratus lagi beralih kepada bahan mentah mahupun alternatif yang lebih murah.Chee Seong memaklumkan, persekitaran perniagaan kini cenderung ke arah lebih berhati-hati di mana syarikat sedang mengecilkan perbelanjaan bagi memberi keutamaan untuk mengekalkan aliran tunai sambil mengambil sikap tunggu dan lihat terhadap perkembangan situasi antarabangsa.Syarikat sedang memperhatikan sama ada pasaran pengguna akan bertambah baik serta memantau situasi di Asia Barat, hasil rundingan pemimpin AS-China dan rundingan China-Rusia.Beliau berkata, perkara yang menjadi tumpuan utama PKS sekarang adalah isu aliran tunai."Walaupun kerajaan menyediakan bantuan pinjaman, namun banyak PKS masih bersikap berhati-hati terhadap pinjaman berkenaan."Permohonan (pinjaman) bukan mudah dan (syarikat) juga bimbang, perniagaan sudah sedia merosot, jika menambah pinjaman lagi, ia akan menjadi beban berganda, malah mereka terpaksa berdepan tekanan untuk membayar balik pinjaman itu kelak," ujarnya.Melangkah ke suku kedua, katanya, sebahagian besar PKS buat masa ini masih mampu bertahan, namun jika situasi di Asia Barat berterusan atau bertambah buruk, syarikat-syarikat berpotensi berdepan masalah aliran tunai selepas ini.Berdasarkan hasil kaji selidik, kebanyakan syarikat kini sudah mula merasai aliran tunai yang sempit.Antaranya, 50 syarikat menyatakan aliran tunai mereka menghadapi tekanan dan mungkin memerlukan pembiayaan atau bantuan; 45 syarikat menyatakan masih mampu menguruskannya tetapi semakin mengetat; sembilan syarikat lagi mengakui bahawa aliran tunai sudah berada pada tahap risiko serius.Bagi soalan mengenai status aliran tunai, responden dibenarkan untuk memilih lebih dari satu jawapan.Sesetengah syarikat memilih kedua-dua jawapan iaitu 'masih boleh diurus tetapi semakin mengetat' dan 'menghadapi tekanan' secara serentak, atau memilih 'menghadapi tekanan' dan 'risiko serius' pada masa sama.Oleh itu, jumlah keseluruhan bagi semua pilihan adalah melebihi 102.Tinjauan juga menunjukkan sekiranya situasi semasa berterusan tanpa sebarang bantuan atau campur tangan kerajaan, keupayaan daya tahan kewangan sebahagian besar PKS adalah sangat terhad.Sebanyak 70.6 peratus responden berpendapat bahawa kewangan syarikat hanya mampu bertahan dalam tempoh kurang daripada enam bulan, di mana 38.2 peratus percaya boleh bertahan tiga hingga enam bulan, manakala 32.4 peratus lagi menganggap hanya mampu bertahan selama satu hingga tiga bulan sahaja.Dalam kategori kos yang terjejas, 44 syarikat menyatakan kos bahan mentah menerima impak paling ketara, diikuti surcaj logistik dan pengangkutan (30 syarikat).Daripada 24 syarikat responden yang sangat bergantung kepada laluan perkapalan Asia Barat dan Selat Hormuz bagi bekalan import, 10 syarikat mengalami lonjakan kos operasi keseluruhan sebanyak 31 peratus hingga 50 peratus; sembilan syarikat melonjak antara 10 peratus hingga 30 peratus; empat syarikat mengalami lonjakan melebihi 50 peratus manakala hanya satu syarikat mencatatkan kenaikan di bawah 10 peratus.Dari segi tekanan kos yang spesifik, 19 syarikat berpendapat kos bahan mentah memberikan impak terbesar, diikuti surcaj logistik dan pengangkutan serta kos tenaga dan utiliti (masing-masing dua syarikat menyatakan impak ini paling ketara), manakala satu syarikat selebihnya menganggap tekanan kos tenaga kerja adalah paling menonjol.Bantuan paling diperlukan oleh PKS adalah tindakan kerajaan untuk menstabilkan harga minyak.Ini merupakan sektor kritikal yang memberikan impak rantaian kepada keseluruhan ekonomi, di mana 31.4 peratus daripada syarikat yang ditinjau menganggap langkah penstabilan harga minyak adalah keperluan paling mendesak.Chee Seong memaklumkan, harga minyak mempengaruhi kos pengangkutan, logistik, bahan mentah, serta kos rantaian bekalan secara keseluruhan.Tambahnya, sebarang turun naik harga minyak akan mencetuskan tindak balas berantai.Beliau menjelaskan bahawa harga minyak akan memberi kesan langsung kepada tambang pengangkutan dan peningkatan kos pengangkutan sahaja sudah cukup untuk menjejaskan keseluruhan rantaian bekalan serta mendorong kenaikan harga pelbagai barangan serta kos operasi.Justeru, Chee Seong menggesa kerajaan supaya mengurangkan pergolakan politik, sebaliknya membantu rakyat dan PKS yang sedang berdepan tekanan kos sara hidup serta kos perniagaan demi menstabilkan ekonomi negara dan persekitaran perniagaan.Beliau berharap agar pihak bank dapat memberikan kelonggaran dalam proses kelulusan bantuan kepada syarikat yang benar-benar terkesan bagi membantu mengharungi fasa sukar aliran tunai ini.Chee Seong turut menyeru pengguna untuk meningkatkan perbelanjaan domestik mengikut kemampuan masing-masing dan memberi keutamaan dengan menyokong produk tempatan demi merangsang kitaran ekonomi bersama.
Go to News Site