Sinar Harian
PASIR MAS – Taktik seorang tauke ketum menyewa sebuah rumah semata-mata untuk dijadikan lokasi memproses dan merebus air ketum terbongkar selepas premis itu diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) di Gual Periuk di sini pada Isnin.Dalam serbuan Op Taring Wawasan kira-kira jam 11.30 malam, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan bersama 100 liter air ketum yang siap diproses dan dibungkus untuk dijual kepada pelanggan.Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat awam di sebuah rumah di Jalan Wira, Desa Wirajaya, Gual Periuk.Menurutnya, ketika tiba di lokasi, anggota PGA mendapati pagar rumah berkunci sebelum bertindak memanjat pagar dan mengetuk pintu kediaman berkenaan."Seorang lelaki tempatan kemudian membuka pintu dan mengaku sebagai penyewa rumah sebelum pemeriksaan dijalankan."Hasil pemeriksaan di bahagian dapur menemukan sebuah peti sejuk yang menyimpan 100 bungkusan plastik berisi cecair kehijauan disyaki air ketum dengan anggaran isipadu keseluruhan 100 liter," katanya kepada pemberita pada Selasa.Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemukan dua periuk bersaiz besar, dua set dapur memasak, sebuah tungku, tong gas serta pelbagai peralatan yang digunakan untuk merebus dan memproses air ketum.Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM5,430.Ahmad Radzi berkata, siasatan awal mendapati suspek mula terlibat dalam kegiatan memproses air ketum sejak awal tahun lalu."Suspek mendapatkan bekalan daun ketum daripada seorang individu yang dikenali sebagai ‘Man’ dan kebiasaannya membeli kira-kira 25 kilogram daun ketum bagi setiap proses memasak."Jumlah itu mampu menghasilkan sekitar 200 bungkus air ketum yang dijual pada harga RM10 sebungkus," katanya.Menurut beliau, suspek turut mengaku menyewa rumah berkenaan khusus untuk menjalankan aktiviti memproses air ketum, manakala tempat tinggal sebenarnya adalah di rumah mentuanya di Kampung Repek di sini.Tambahnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine selain mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau."Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Go to News Site