Collector
'Bukan tampar, sekadar sentuh pipi' | Collector
'Bukan tampar, sekadar sentuh pipi'
Sinar Harian

'Bukan tampar, sekadar sentuh pipi'

IPOH - Ahli Dewan Negara, Datuk Azhar Ahmad menafikan dakwaan menampar cucu kepada Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu program di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik seperti tular di media sosial.Menurut beliau, insiden yang berlaku pada 20 Mei lalu itu disalah tafsir apabila rakaman video yang tersebar tidak memaparkan keseluruhan konteks sebenar.Menurutnya, kejadian berlaku dalam suasana mesra selepas beliau selesai menyampaikan syarahan dalam Program Pemerkasaan Bangsa Pemimpin Pelajar dan Pengurusan Kanan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknologi Mara (UiTM)."Saya diperkenalkan kepada pelajar itu. Dalam suasana yang sangat mesra, saya bersalaman dan sekadar menyentuh pipinya sebagai tanda kemesraan."Tiada sebarang tamparan atau perbuatan kasar seperti yang didakwa," katanya dalam satu kenyataan di sini.Terdahulu media melaporkan, satu laporan polis telah dibuat oleh pelajar terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada Sabtu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan termasuk mendapatkan keterangan daripada saksi yang berada di lokasi kejadian.Pelajar berkenaan mendakwa, kejadian tersebut menyebabkannya berasa terhina, malu dan terkesan dari segi emosi kerana berlaku di hadapan orang ramai.Sementara itu, bercakap kepada Sinar Harian, Azhar yang juga Ketua UMNO Bahagian Beruas berkata, walaupun berbeza latar politik, pihaknya sangat menghormati keluarga Allahyarham Nik Aziz dan menganggap beliau sebagai tok guru."Saya sebenarnya teruja apabila dimaklumkan pelajar berkenaan mempunyai kaitan dengan keluarga Allahyarham."Bila salam, saya pegang dan tepuk pipi dia sikit, itu cara saya. Bukan tampar," katanya.Beliau percaya kekeliruan mungkin berlaku apabila maklumat disampaikan kepada pihak lain tanpa gambaran sebenar, sebelum akhirnya tular di media sosial dengan naratif berbeza.Susulan itu, beliau telah membuat laporan polis bagi melindungi dirinya selain mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa menyebarkan fitnah."Saya baru sedar perkara ini selepas melihat video yang tular di TikTok. Hari ini juga saya buat laporan polis untuk lindungi diri saya."Kalau setakat teguran tak mengapa, tetapi ini sudah melampau sehingga menjejaskan reputasi. Saya akan ambil tindakan undang-undang," katanya.

Go to News Site