Sinar Harian
SHAH ALAM – Seramai 114 individu dilaporkan maut akibat lemas dalam 113 insiden yang direkodkan di seluruh negara sejak Januari hingga 1 Jun lalu.Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, daripada jumlah kematian itu, 102 mangsa adalah lelaki manakala 12 lagi perempuan yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.Menurutnya, golongan berusia tujuh hingga 19 tahun mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 53 orang."Bagi kategori umur, sehingga enam tahun melibatkan tiga kematian, tujuh hingga 19 tahun (53 orang), 20 hingga 39 tahun (31 orang), 40 hingga 59 tahun (20 orang) dan 60 tahun ke atas (tujuh orang)."Lokasi insiden paling banyak direkodkan ialah sungai atau tali air dengan 68 kes, diikuti pantai (25 kes), tasik atau lombong (11 kes), air terjun atau jeram (tujuh kes) dan pembentung (dua kes)," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.Beliau berkata, peningkatan insiden lemas kebelakangan ini amat membimbangkan, terutama ketika musim cuti panjang yang menyaksikan ramai memilih lokasi rekreasi berasaskan air untuk beriadah.Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memantau pergerakan ahli keluarga bagi memastikan keselamatan serta mengelakkan kejadian tidak diingini ketika berkelah atau mandi-manda di pantai, sungai dan air terjun."Kepekaan masyarakat terhadap bahaya air nampaknya masih rendah berbanding keghairahan untuk beriadah."Masyarakat perlu mengetahui kemampuan diri dan memahami risiko di sesuatu lokasi. Jangan sesekali mengambil risiko atau mencabar kawasan yang dikenal pasti berbahaya," katanya.Antara kes terbaharu yang dilaporkan ialah kematian seorang remaja lelaki berusia 17 tahun selepas mayatnya ditemukan kira-kira 300 meter dari pantai dipercayai lemas ketika mandi bersama rakan di Pantai Bagan Lalang, Sepang pada Ahad.Penguasa Kanan Bomba II, Mohamad Issmanto Md Pono dilaporkan berkata, operasi mencari dan menyelamat dilancarkan sejurus pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.18 petang.Mangsa ditemukan pada jam 6.50 petang oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
Go to News Site